OKU teruja sertai Fun Walk Sinar Harian 16

Mohd Radzi (kiri) dan Wan Effendi (dua dari kanan) bersama rakan-rakan ketika menyertai Fun Walk Sinar Harian 16 pada Ahad.
Mohd Radzi (kiri) dan Wan Effendi (dua dari kanan) bersama rakan-rakan ketika menyertai Fun Walk Sinar Harian 16 pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kekurangan diri bukan menjadi penghalang kepada peserta berstatus orang kurang upaya (OKU) untuk turut serta dalam program Fun Walk Sinar Harian 16 pada Ahad.

Peserta, Wan Effendi Sodikin, 34, berkata, walaupun menaiki kerusi roda, namun dia dan rakannya seronok menyertai program seperti ini kerana dapat memberi banyak manfaat termasuk memupuk komuniti sihat.

"Saya pun ambil motivasi daripada rakan-rakan lain sebab saya nampak aktiviti ini boleh membantu menguatkan lengan, daripada duduk rumah, jadi lemah sebab tidak berbuat apa-apa.

"Jadi OKU ini, ia tidak menjadi penghalang sebaliknya mendekatkan kita dengan masyarakat kerana kita boleh berinteraksi dengan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Wan Effendi
Wan Effendi

Menurut Wan Effendi, sokongan daripada rakan-rakan amat penting kerana ia menjadi pembakar semangat untuk golongan seperti mereka lebih aktif sertai program aktiviti lasak.

"Kadangkala ada orang tidak boleh tolak (pergi) jauh, tetapi bila pergi dengan kawan-kawan, kita jadi lebih semangat.

"Kalau seorang diri memang kita segan dan malu, tetapi bila dengan rakan-rakan kita akan lebih mudah terikut.

"Sebab kalau kita malas, kawan-kawan akan 'push' (dorong) supaya kita sertai, kalau seorang diri saya rasa ia mustahil," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi Irfan, 30, pula berkata, tidak ada masalah untuk golongan OKU menyertai program sukan seperti Fun Walk Sinar Harian 16.

"Saya tengok ramai yang sertai program ini daripada yang biasa kami sertai sebelum ini.

"Acara seperti ini adalah aktiviti yang sihat dan boleh menaikkan motivasi kami untuk bercampur gaul dengan orang lain," katanya.

Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang dekat dengan masyarakat menganjurkan program kecergasan dinamakan Fun Walk Sinar Harian 16 sempena ulang tahun penerbitannya pada 31 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, program yang berkonsepkan manfaat masa bersama keluarga dengan melakukan aktiviti kecergasan pada hujung minggu ini adalah antara program utama sambutan ulang tahun Sinar Harian ke-16 dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, Sinar Harian turut mengambil inisiatif untuk bersama-sama dengan kerajaan dan kementerian sebagai sebahagian aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat menerusi sukan bersama keluarga.