Kerajaan perlu struktur semula pemberian subsidi: Pakar ekonomi

NOOR AZLAN
NOOR AZLAN
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menstrukturkan semula cara pemberian subsidi dan bantuan serta kaedah kawalan harga bagi memastikan kemapanan kedudukan perbelanjaan negara, kata Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) berkata, perbelanjaan subsidi dilakukan kerajaan ketika ini dilihat tidak mampan dan berpotensi menggugat kedudukan fiskal kerajaan.

Katanya, paras pemberian subsidi pada tahun ini yang mungkin mencecah sebanyak RM80 bilion seperti dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu juga didapati melebihi anggaran Perbelanjaan Pembangunan (DE) 2021 yang berjumlah RM71 bilion.

“Ia juga hampir menyamai jumlah Emolumen, gaji keseluruhan anggota perkhidmatan awam untuk setahun (RM84.5 bilion). Dalam kiraan mudah saya (andaian RM500 juta untuk membina sebuah hospital 300 katil) ianya menyamai 160 buah hospital baharu!

“Dalam Tinjauan Fiskal 2021, anggaran hasil kerajaan ialah RM236.9 bilion dan Perbelanjaan Mengurus (OE) ialah RM236.5 billion. Jurang antara Hasil dan OE yang mengecil membawa maksud status fiskal tergugat. Bagi saya, ini status fiskal yang ‘merbahaya’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Tengku Zafrul pada 8 Julai lalu memaklumkan peruntukan untuk perbelanjaan subsidi termasuk ayam dan petrol pada tahun ini dijangka mencecah hampir RM80 bilion.

Noor Azlan berkata, disebabkan situasi itu, kerajaan tiada pilihan lain untuk menampung Perbelanjaan Pembangunan selain berhutang dan jika berterusan, ia bakal menyebabkan peningkatan defisit fiskal.

Beliau mengakui bahawa subsidi dan bantuan sememangnya diperlukan untuk memastikan nasib rakyat terbela, namun menegaskan ia mesti dilaksanakan dengan cekap dan berkesan supaya status fiskal negara tidak tergugat.

“Merasionalisasi subsidi bukan menghapus subsidi. Sebaiknya, subsidi dan bantuan lebih bersasar mengambil kira tahap pendapatan, tanggungan dan lokasi. Mesti ada pegangan polisi untuk memperkenalkan subsidi. Ada caranya.

“Proses semakan harga kawalan mesti difahami semua, semakan berjadual dan diikat pada pergerakan harga pasaran. Jihad dengan peniaga yang manipulasikan harga.

“Tiada kerajaan di dunia yang berupaya menidakkan kuasa pasaran sepenuhnya. Berubah dari harga murah kepada harga adil,” jelas beliau.