'Tiada kesesakan di Terminal Feri Kuala Perlis'

Tangkap layar video berdurasi 31 saat yang memaparkan keadaan penumpang memenuhi kawasan Terminal Feri Kuala Perlis di Perlis. Gambar kecil: Kapten Baharin Baharom
Tangkap layar video berdurasi 31 saat yang memaparkan keadaan penumpang memenuhi kawasan Terminal Feri Kuala Perlis di Perlis. Gambar kecil: Kapten Baharin Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd menafikan berlakunya kesesakan di Terminal Feri Kuala Perlis pada Jumaat.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Kapten Baharin Baharom menjelaskan tiada kesesakan berlaku walaupun kawasan terminal kelihatan dipenuhi orang ramai.

Beliau berkata, kawasan terminal feri nampak seolah-olah sesak disebabkan terminal tidak boleh menampung lebih daripada 800 orang pada satu-satu masa.

“Ketika ini, hanya penumpang yang ingin berlepas ke Langkawi dalam tempoh satu jam sahaja dibenarkan masuk ke dalam terminal selepas menjalani pemeriksaan tiket dan mengemukakan MyKad.

“Terdapat kira-kira 600 penumpang untuk satu perjalanan, jadi sekiranya ada dua trip maka akan ada dalam 1,200 penumpang dalam terminal,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, penumpang pula perlu menjalani pemeriksaan tiket dan mengemukakan MyKad terlebih dahulu di luar platform dan beratur mengikut giliran.

“Disebabkan ada yang beratur sambil menunggu giliran untuk waktu berlepas masing-masing, maka nampak ramai tetapi sebenarnya tiada sebarang kesesakan,” katanya.

Katanya, selain itu, ada penumpang yang datang awal dua jam ke terminal dan ada juga yang terlepas untuk menggunakan perkhidmatan feri RORO.

Beliau menegaskan sememangnya tiada sebarang masalah ataupun kesesakan berlaku, sebaliknya hanya agak ramai penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri berbanding hari biasa.

Tambah beliau, kawasan terminal dipenuhi penumpang disebabkan ada yang mengambil peluang bercuti ke Langkawi sempena Awal Muharam.

“Pada Jumaat, sejumlah 8,768 penumpang yang keluar masuk menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

“Jadi, sebanyak 21 trip dan tiga feri tambahan telah disediakan bagi perjalanan keluar masuk ke Langkawi demi memenuhi permintaan penumpang,” katanya.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi 31 saat yang memaparkan kawasan Terminal Feri Kuala Perlis yang dipenuhi penumpang tular di media sosial.