Beza agama bukan penghalang Hock Cheng bantu Islam

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Ibnu Uraiqith kepada penerima tokoh bukan Muslim, Teh Hock Cheng (dua dari kanan) pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 Masihi di Dataran Pusat Islam di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Ibnu Uraiqith kepada penerima tokoh bukan Muslim, Teh Hock Cheng (dua dari kanan) pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 Masihi di Dataran Pusat Islam di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Perbezaan agama bukan penghalang bagi penerima Tokoh Maal Hijrah Melaka, Teh Hock Cheng terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan sosial melibatkan Islam di negeri itu sejak 38 tahun lepas.

Hock Cheng, 59, yang merupakan penerima Anugerah Ibnu Uraiqith untuk tokoh bukan Muslim berkata, walaupun menerima pelbagai tohmahan pihak tertentu yang kurang senang dengan gerakan beliau membantu Islam, beliau tidak pernah mengendahkannya.

Pengarah sebuah syarikat perusahaan makanan itu berkata, gerakannya membantu pembangunan Islam di Melaka adalah mengikut kata hati dan ikhlas tanpa sebarang niat tersembunyi.

"Saya sentiasa bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) serta sering turut serta dalam pelbagai program anjuran mereka secara langsung atau tidak langsung.

"Apa yang saya mahukan ialah untuk mengetahui lebih mendalam tentang agama Islam untuk kerohanian dan kesejahteraan diri saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 Masihi di Dataran Pusat Islam di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, beliau menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai berjumlah RM3,000 disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Penerima anugerah utama tokoh Maal Hijrah Datuk Hasnah Salam, 68, berkata beliau terkejut dimaklumkan dipilih sebagai penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq pada saat akhir, namun menyifatkan ia sebagai satu pengiktirafan buat kaum wanita.

Pengerusi Yayasan Angin Ahmar Melaka itu berkata, beliau tidak pernah jemu memberikan pandangan, nasihat serta bantuan yang diperlukan khususnya dalam memastikan pembangunan Islam dapat bergerak seiring kemajuan semasa.

"Saya tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan daripada mana-mana pihak tetapi anugerah hari ini amat bermakna buat saya dan untuk wanita lain di luar sana kerana dipilih sebagai penerima utama tokoh Maal Hijrah tahun ini," katanya yang aktif dalam bidang politik dan badan bukan kerajaan sejak lebih 30 tahun lepas.

Beliau menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai RM10,000.

Terdahulu, Sulaiman dalam ucapannya berkata, umat Islam hari ini perlu menyedari bahawa jatuh bangun agama, tamadun serta identiti umat Islam terletak pada tangan umat Islam sendiri.

Justeru, beliau berkata banyak aspek perlu diberi penekanan terhadap umat Islam terutamanya melibatkan krisis moral dan tunjuk ajar yang berterusan khususnya melibatkan nilai keagamaan perlu diberikan agar mereka dapat membezakan perbuatan yang tidak sepatutnya. - Bernama