Golongan muda perlu berani hijrah lebih baik

Sultan Nazrin (kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di Bandar Meru Raya pada Sabtu.
Sultan Nazrin (kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak di Bandar Meru Raya pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Golongan muda Islam dinasihatkan untuk lebih berani berhijrah ke arah kebaikan selain tidak berputus asa dengan cabaran semasa kini.

Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak, Datuk As'ad Awang, 65, berkata, cabaran yang dihadapi golongan remaja dan belia kini amat berbeza yang mana mereka berhadapan dengan situasi ekonomi, penyakit serta krisis makanan.

"Golongan muda boleh menguasai pelbagai bidang dengan syarat rajin bekerja selain tabah dengan ujian semasa hari ini.

"Golongan ini amat berpotensi dalam membentuk negara dengan kefahaman ilmu. Contohi semangat Rasullah SAW dan sahabat dalam hijrah mengembangkan penyebaran agama Islam," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak dengan tema 'Keselamatan Makanan: Penghijrahan Visi- Penghijrahan Misi' di sini pada Sabtu.

Kata As'ad yang juga bekas guru, beliau berazam mahu terus berbakti selagi diperlukan sebagai Ahli Majlis Agama Islam Perak dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Perak.

Penyampaian anugerah Tokoh Maal Hijrah itu disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut berkenan menyampaikan enam lagi anugerah lain.

Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik diberikan kepada Masjid Bandar Universiti, Seri Iskandar dan Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik diterima oleh Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Tembak Lumut.

Anugerah Usaha Tani Sekolah Terbaik diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Changkat Tin, Tanjung Tualang; Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz, Lenggong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Seri Wan Mohamed, Gerik.

Anugerah Usaha Tani Masjid Terbaik pula diterima oleh Masjid Al-Mujahirin, Kampung Nibong Hangus, Kuala Kurau, Parit Buntar; Masjid Al-Khairiah, Rantau Panjang, Selama dan Masjid Tajul Rahman, Pekan Rabu, Teluk Intan.

Anugerah Belia diberikan kepada Siti Naziah Mohamad Nazid yang merupakan antara dua pelajar terbaik Malaysia yang berada di 10 tempat teratas di dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bagi sesi Mac 2021.

Manakala Setiausaha Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Sirat Abdullah yang memperkenalkan konsep masjid dalam kebun menerima Anugerah Tokoh Ar Ridzuan.