Pemandu ekskavator maut tertimbus sempat lompat keluar

Dua buah ekskavator digunakan dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan, pagi Sabtu. -Foto: JBPM Kedah
Dua buah ekskavator digunakan dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan, pagi Sabtu. -Foto: JBPM Kedah
A
A
A

POKOK SENA - Pemandu ekskavator yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang dekat sini, sempat melompat keluar dari kenderaan tersebut untuk menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bagaimanapun mangsa gagal mencari lokasi yang lebih selamat untuk berlindung daripada bongkah batu yang runtuh.

Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Nasir Awang Ali, 40, ditemukan sudah meninggal dunia pada 12.38 tengah hari selepas dipercayai tertimbus bawah runtuhan tanah yang berlaku sekitar 9.30 pagi Sabtu.

“Berdasarkan maklumat daripada saksi, dia ternampak mangsa berada di tempat kejadian dan melihat mangsa melompat keluar dari kenderaan namun gagal ke lokasi yang selamat.

“Saksi turut mengatakan kedalaman mangsa tertimbus dianggarkan lebih tiga meter,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu ekskavator dikhuatiri tertimbus

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa merupakan seorang pemandu ekskavator di tapak pembinaan tersebut dan sedang menjalankan kerja-kerja menimbun di lokasi berkenaan.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berlaku tanah runtuh dari Sistem MERS 999 pada 9.37 pagi.

"PGO Kedah telah mengarahkan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena selain jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Alor Setar ke lokasi kejadian,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. -Foto: JBPM Kedah
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. -Foto: JBPM Kedah

Menurutnya, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati terdapat runtuhan batu di lokasi akibat daripada kerja-kerja menimbun tapak pembinaan.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan dengan bantuan dua buah ekskavator. Mayat mangsa berjaya dijumpai hasil daripada perancangan dan pencarian yang dipecahkan kepada dua sektor di lokasi kejadian," katanya lagi.

Mohamadul Ehsan memaklumkan, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi berkenaan ditamatkan pada 12.51 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, seramai enam pegawai dan 21 anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang turut dibantu oleh polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).