Semarakkan Hari Kebangsaan dengan Jalur Gemilang

Ismail Sabri berjalan secara santai bersama lebih 10,000 orang peserta sempena program Berjalan Teguh Bersama sejauh 2.7 kilometer dari Dataran Putra ke Istana Kehakiman. - Foto Bernama
Ismail Sabri berjalan secara santai bersama lebih 10,000 orang peserta sempena program Berjalan Teguh Bersama sejauh 2.7 kilometer dari Dataran Putra ke Istana Kehakiman. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seluruh Keluarga Malaysia diseru menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan mewarnai dan menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cara lain untuk membuktikan cinta kepada negara termasuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri, bekerjasama dan mengamalkan toleransi, mendukung segala inisiatif kerajaan dan amalan menyebarkan berita yang benar dan sahih.

“Gejala menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar terutamanya menerusi media sosial harus dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi satu amalan yang boleh memporak-perandakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Gunakanlah sosial media secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan ucapan-ucapan murni kepada rakan taulan, majikan dan keluarga sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di sini pada Sabtu.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. - Foto Bernama
Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. - Foto Bernama

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Ismail Sabri sebelum itu turut menyertai program berjalan secara santai sejauh 2.7 kilometer itu bersama orang ramai.

Tambah Ismail Sabri, Sambutan Hari Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang diadakan bagi memperingati perjuangan kebebasan yang dikecapi Keluarga Malaysia dalam mengurus pentadbiran negara sendiri setelah dijajah oleh kuasa asing.

“Walaupun tidak lagi dibelenggu penjajah, namun Keluarga Malaysia sentiasa berdepan dengan cabaran yang datang dari luar yang boleh menggugat keharmonian yang terjalin selama ini.

“Setelah kita berjuang memerangi pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas, negara kini dalam fasa peralihan ke endemik dan Keluarga Malaysia mula menikmati kesejahteraan hidup seperti sebelum pandemik melanda dunia,” ujarnya.