Pembersihan sisa kimia di tapak lupus sampah di Dengkil selesai

Wan Abdul Latiff Wan Jaffar. - Foto Bernama
Wan Abdul Latiff Wan Jaffar. - Foto Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Kerja pembersihan buangan kimia yang ditemukan di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Dengkil dekat sini baru-baru ini telah selesai dijalankan, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Beliau berkata, kerja pembersihan yang bermula pada 9 Julai sehingga 22 Julai itu melibatkan pemindahan sebanyak 15 tong dram berkapasiti 200 liter, tujuh bekas Intermediate Bulk Container (IBC) dan dua beg jumbo mengandungi tanah, plastik dan kain buruk tercemar.

Kerja pembersihan itu mendapat kerjasama daripada kontraktor yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan bantuan logistik serta tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Sepang bagi kerja-kerja menimbus dan meratakan tanah.

"Tatacara pembersihan dan pelupusan adalah mengikut Prosedur Tetap Operasi (PTO) Pelupusan Haram Buangan Terjadual dan kesemua buangan kimia tersebut telah dilupuskan di fasiliti yang dilesenkan oleh JAS,” katanya.

Pada 5 Julai lepas, media melaporkan pencemaran bau seakan bau kencing kucing atau tikus sehingga boleh dihidu dalam radius 4.7 kilometer termasuk di Putrajaya, membawa kepada penemuan tapak pelupusan haram dipenuhi sisa kimia bercampur dengan sampah domestik di Kampung Semarang di Dengkil.

Sehubungan itu, JAS bertindak menggerakkan siasatan bermula 30 Jun lepas meliputi pelbagai punca berpotensi seperti kilang dan saluran paip gas bagi mengesan aktiviti mencurigakan, sebelum berjaya mengesan lokasi pencemaran itu semalam yang terletak kira-kira 700 meter dari jajaran Sungai Langat.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilaporkan berkata dianggarkan terdapat 100 tong besi berkapasiti 200 liter mengandungi sisa kimia disyaki buangan terjadual berbentuk cecair, separa cecair dan pepejal berwarna di tapak pencemaran itu.

Mengenai insiden itu, Wan Abdul Latif berkata sejumlah 96 aduan diterima oleh JAS kerana membangkitkan keresahan akibat diganggu bau buangan kimia terutama pada waktu malam dan awal pagi.

"JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” katanya. - Bernama