'Tiada lagi peluang khianati mandat rakyat'

Najmil Faiz
Najmil Faiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan pada Khamis menggambarkan permulaan yang positif dalam memelihara demokrasi negara.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, RUU itu diyakini mampu mewujudkan politik yang stabil sehingga tempoh pembubaran Parlimen.

"Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan demokrasi berparlimen di Malaysia berada dalam keadaan terburuk apabila hampir 40 ahli Parlimen termasuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH) telah keluar parti untuk menyertai parti lain, menjadi ahli Parlimen bebas atau bertindak menyokong blok berlawanan.

"Selepas ini, tiada siapa lagi dapat mengkhianati mandat rakyat dan ini adalah permulaan yang baik bagi memelihara demokrasi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, usaha dilakukan itu membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berani membawa perubahan dalam mengekalkan kestabilan politik negara serta memberi jaminan tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat.

"Jika Perdana Menteri tidak berani membentangkan rang undang-undang ini, akta lompat parti hanya sekadar retorik politik buat selamanya," ujarnya.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Ismail Sabri pada Rabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggulung perbahasan RUU itu pada Khamis.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan pada Khamis.