Kes dera budak autisme: Semua terlibat sudah diambil keterangan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sudah memanggil semua pihak yang terlibat dalam kes seorang kanak-kanak lelaki autisme yang didakwa ibunya didera seorang guru di pusat terapi di Skudai, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, proses tersebut untuk membantu siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaraya.

"Di peringkat ini pihak polis akan mendapatkan laporan perubatan mangsa secara rasmi sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

"Sebelum ini selepas mendapat aduan perkara tersebut, kanak-kanak itu telah dirujuk ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

"Kanak-kanak ini juga sudah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini bagi mendapatkan penilaian khusus oleh pakar kanak-kanak terhadap status kesihatannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini pemilik akaun Facebook Cik Puan Zetty memuat naik hantaran berkenaan pengaduan polis oleh seorang ibu yang menyatakan anak lelaki autismenya didera di pusat berkenaan.

Rupiah berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara mengesan hantaran daripada Facebook berkenaan pada Khamis.

Katanya, semakan mendapati kes yang ditularkan pemilik akaun Facebook tersebut, statusnya masih dalam siasatan pihak IPD berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.