Teruskan Dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera

Muhyiddin ketika menyanyikan lagu Bangsa Johor sempena Konvensyen Bersatu Johor.
A
A

KULAI - Dasar Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dalam perolehan kerajaan hendaklah terus dilaksanakan.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia termasuk dasar keutamaan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dalam perolehan kerajaan.

Menurutnya, selain itu, dasar ‘Carve Out and Compete’ yang memberi peluang kepada syarikat-syarikat Bumiputera mempunyai merit untuk mengambil bahagian dalam perolehan kontrak-kontrak kerajaan berskala besar.

“Perkara ini telah pun saya bangkitkan dalam kabinet, dan nampak kabinet menyokong dasar. Supaya walaupun kita mengamalkan dasar perolehan yang dikatakan terbuka, kita mengamalkan dasar open tender, tetapi kalau nak bersaing antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam konteks itu, saya percaya kita tahu apa keputusan. Bumiputera akan kalah.

“Tetapi kalau persaingan antara Bumiputera dengan Bumiputera yang layak, maka pastinya apa pun keputusan Bumiputera akan dapat kontrak itu berdasarkan merit.

"Dasarnya telah diterima oleh jemaah menteri,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Bersatu Johor di Senai di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau juga berpandangan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri mesti ditubuh dan dibentuk.

“Ini akan membolehkan pelaksanaan agenda Bumiputera oleh Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi kerajaan dapat diselaraskan di peringkat yang tertinggi.

“Insya-ALLAH saya kira mungkin satu ketika Perdana Menteri boleh memutuskan usul dan cadangan ini,” katanya.

Selain itu, katanya, institusi yang ditubuhkan untuk membantu usahawan Bumiputera seperti MARA, Tekun Nasional, PUNB dan Amanah Ikhtiar Malaysia perlu diperkasakan.

“Di samping itu, TERAJU sebagai institusi yang bertanggungjawab menerajui, memacu dan menyelaras pelaksanaan agenda Bumiputera perlu berfungsi secara lebih cekap dan diberikan peranan dan kedudukan yang lebih utama di bawah pimpinan kerajaan PH.

“​Kita mesti sedar bahawa orang Melayu dan Bumiputera sedang menilai kedudukan mereka di bawah kerajaan PH. Mereka ingin mendapatkan kepastian bahawa nasib dan masa depan mereka adalah lebih baik di bawah pentadbiran PH berbanding di bawah BN.

Muhyiddin berkata, oleh itu, beliau membuat penegasan bahawa pembelaan terhadap orang Melayu dan Bumiputera mesti terus diberikan keutamaan oleh PH.

“Sudah sampai masanya kerajaan PH mengangkat agenda Bumiputera sebagai agenda nasional yang bermatlamat untuk mewujudkan perkongsian kemakmuran negara yang sebenar dengan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum.

“Agenda Bumiputera hendaklah dilaksanakan secara telus, adil dan saksama dengan tidak menafikan hak kaum-kaum lain. Ia juga mestilah memberi manfaat kepada semua dengan tidak hanya tertumpu kepada sekelompok kecil orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan kerangka baharu agenda Bumiputera bermatlamatkan perkongsian kemakmuran secara bersama oleh semua rakyat, hendaklah berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang.

“Jangan ada amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan yang akan menggagalkan usaha murni ini. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang mestilah diambil ke atas pelaku-pelaku rasuah dan mereka yang menyalaghunakan kuasa dan kedudukan untuk merampas hak rakyat.

Pengalaman kita yang lampau cukup banyak, jangan kita ulang apa yang sudah dilakukan pimpinan terdahulu.

“Maka Inilah masanya untuk Bersatu membuktikan kepada orang Melayu bahawa parti kita ini benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk membela nasib orang Melayu dan Bumiputera serta memelihara kedudukan agama Islam di negara ini,” katanya.