Penganggur disyaki bakar remaja dihadapkan ke mahkamah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CHUKAI - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas tuduhan mencederakan seorang remaja lelaki sehingga melecur pada Jumaat lepas.

Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan terhadap Shaikh Hilman Hakim Shaikh Anuar, 28, yang mengangguk faham kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Shaikh Hilman didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Muhammad Fiqrie Adam Abdullah,15, pada 3 pagi, 22 Julai lepas di Kampung Perasing Jaya di Jabor dekat sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menetapkan 1 Ogos ini bagi penetapan jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Farhana Shamsudin.

Terdahulu tiga lelaki dituduh di mahkamah sama iaitu Mohamad Razman Zalizan dan Mohamad Razif Mohamad, masing-masing berusia 20 tahun serta Muhammad Imran Mohamad, 18, yang turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Muhammad Fiqrie pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 8 September untuk sebutan semula kes dan membenarkan ketiga-tiga lelaki tersebut diikat jamin masing-masing RM1,800 dengan syarat tambahan mereka tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman dan ketiga-tiga mereka turut diwakili peguam Nurul Farhana.

Sebelum ini media melaporkan seorang remaja lelaki melecur kira-kira 40 peratus selepas dipercayai disimbah cecair jenis minyak sebelum dinyalakan api akibat dituduh mencuri wang RM100. - Bernama