‘Wabak cacar monyet boleh dikekang’

WHO masih berusaha ke arah menentukan mekanisme penyelarasan global untuk menangani penularan cacar monyet.
WHO masih berusaha ke arah menentukan mekanisme penyelarasan global untuk menangani penularan cacar monyet.
A
A
A

GENEVA - Wabak cacar monyet yang merebak dengan pantas di lebih 70 negara boleh dihentikan.

Jaminan itu diberikan ketua teknikal mengenai cacar monyet di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Rosamund Lewis pada Selasa, beberapa hari selepas ia diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global.

“Ia boleh dikekang dengan strategi yang tepat dan kita semua perlu bekerjasama untuk menjayakannya,” jelasnya.

Menurutnya, WHO masih berusaha ke arah menentukan mekanisme penyelarasan global untuk menangani penularannya yang semakin membimbangkan hingga menyebabkan per-tubuhan tersebut mengeluarkan amaran tahap tertinggi.

“Buat masa ini ia adalah sesuatu yang masih dalam perbincangan,” katanya lagi sambil menambah, stigma sosial dan diskriminasi perlu dielakkan kerana ia dikhuatiri menjejaskan usaha tindak balas untuk mengekang wabak berkenaan.

Difahamkan, sebahagian besar kes jangkitan cacar monyet melibatkan golongan gay dan individu yang melakukan seks bebas.

Ketika ini, WHO sedang bekerjasama dengan negara anggota dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung usaha mengedarkan vaksin di bawah mekanisme penyelarasan global.

“Langkah perkongsian vaksin harus dilakukan mengikut keperluan kesihatan awam, lokasi dan negara paling teruk terjejas. Hal ini kerana tidak semua rantau berdepan epidemiologi sama,” ujarnya.

Kebanyakan negara menggunakan vaksin cacar untuk merawat jangkitan cacar monyet.
Kebanyakan negara menggunakan vaksin cacar untuk merawat jangkitan cacar monyet.

Beliau juga menjelaskan kira-kira 16.4 juta vaksin kini tersedia secara pukal dan antara negara yang sedang menghasilkan vaksin bagi merawat penyakit tersebut ialah Denmark, Jepun serta Amerika Syarikat (AS).

AS catat kes tertinggi

Data dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mendapati lebih 3,800 kes jangkitan cacar monyet dilaporkan di Washington sehingga Ahad lalu.

Angka itu menjadikan AS sebagai negara yang mencatatkan kes tertinggi di dunia, sekali gus mendahului Sepanyol dengan lebih 3,100 kes direkodkan setakat ini.

Dua negara lain yang merekodkan jumlah kes tertinggi ialah Jerman (2,352 kes) dan Britain (2,208 kes).

New York dikatakan menyumbang jumlah kes paling tinggi iaitu 900 kes, diikuti California (356 kes) dan Florida (247 kes) setelah ujian saringan dipertingkatkan di seluruh negara.

The Washington Post melaporkan pentadbiran Presiden Joe Biden sedang mempertimbangkan untuk mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam susulan lonjakan luar biasa kes cacar monyet yang turut menjangkiti kanak-kanak.

Langkah itu membolehkan kerajaan menggunakan dana persekutuan untuk memerangi wabak tersebut, meningkatkan kesedaran awam dan mengumpulkan data kesihatan yang berkaitan dengan lebih tepat.

Minggu lalu, kira-kira 50 anggota Parti Demokrat mengemukakan surat terbuka kepada Biden untuk menggesa beliau mengumumkan amaran peringkat tertinggi tersebut dan mengedarkan jutaan dos vaksin yang diimport dari luar negara.

Masalah kekurangan bekalan vaksin selain ujian saringan yang bermula agak perlahan menyebabkan segelintir pihak membandingkan situasi tersebut dengan permulaan pandemik Covid-19 yang melanda negara itu pada awal 2020.

Setakat ini, tiada kematian melibatkan cacar monyet direkodkan di AS. - Agensi

Info:

- Pada tahun ini, lebih 16,000 kes cacar monyet disahkan di lebih 75 negara dan lima kematian dilaporkan di Afrika. WHO percaya angka sebenar jauh lebih tinggi.

- Kira-kira 81 kanak-kanak di bawah usia 17 tahun di seluruh dunia telah dijangkiti.

- Majoriti kes dalam kalangan lelaki muda dengan umur median 37 tahun.