IMF semak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2022 Malaysia

IMF menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi Malaysia kepada 5.1 peratus pada 2022 daripada 5.6 peratus sebelum ini.
IMF menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi Malaysia kepada 5.1 peratus pada 2022 daripada 5.6 peratus sebelum ini.
A
A
A

TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ke tahun bagi Malaysia kepada 5.1 peratus pada 2022 daripada 5.6 peratus sebelum ini, menurut Kemas Kini Prospek Ekonomi Dunia Julai 2022 IMF (diterbitkan pada 26 Julai).

Bagaimanapun, unjuran terkini IMF itu lebih rendah daripada unjuran julat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Bank Negara Malaysia sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus pada 2022.

Menurut IMF, risiko terhadap prospek ekonomi global amat cenderung kepada penurunan.

"Faktor seperti perang di Ukraine boleh membawa kepada pemberhentian serta-merta import gas Eropah dari Rusia manakala inflasi boleh menjadi lebih sukar untuk diturunkan daripada jangkaan sama ada jika pasaran buruh lebih terhad daripada jangkaan atau jangkaan inflasi tidak mempunyai asas yang kukuh.

"Keadaan kewangan global yang lebih terhad boleh menyebabkan tekanan hutang dalam pasaran sedang pesat membangun dan negara-negara membangun; penularan baharu Covid-19 dan sekatan pergerakan serta peningkatan krisis sektor hartanah, boleh terus menyekat pertumbuhan China dan perpecahan geopolitik, boleh menghalang perdagangan dan kerjasama global,” katanya.

Menurut IMF, dengan peningkatan harga yang terus menjejaskan taraf hidup di seluruh dunia, menurunkan inflasi perlu menjadi keutamaan pertama bagi penggubal dasar.

"Dasar monetari yang lebih ketat akan mempunyai kos ekonomi sebenar, tetapi kelewatan hanya akan memburukkannya.

"Bagaimanapun, keadaan monetari yang lebih ketat juga akan menjejaskan kestabilan kewangan, memerlukan penggunaan kaedah kehematan makro dan membuat pembaharuan kepada rangka kerja penyelesaian hutang yang lebih diperlukan,” katanya.

IMF mencadangkan sokongan fiskal bersasar dapat membantu mengurangkan impak terhadap mereka yang paling mudah terjejas tetapi dengan bajet kerajaan yang terhad berikutan pandemik dan keperluan kepada pendirian dasar makroekonomi disinflasi secara keseluruhan, dasar tersebut perlu diimbangi oleh peningkatan cukai atau perbelanjaan kerajaan yang lebih rendah.

"Oleh itu, dasar untuk menangani impak tertentu terhadap tenaga dan harga makanan perlu memberi tumpuan kepada mereka yang paling terjejas tanpa mengganggu harga,” katanya. - Bernama