Gangguan elektrik: 11 insiden terperangkap dalam lif di Selangor

Salah seorang mangsa yang terpaksa meminta bantuan bomba susulan terperangkap di dalam lif. - Foto JBPM
Salah seorang mangsa yang terpaksa meminta bantuan bomba susulan terperangkap di dalam lif. - Foto JBPM
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 11 laporan berhubung insiden terperangkap di dalam lif susulan gangguan bekalan elektrik yang melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang pada Rabu.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, insiden sekitar jam 12.50 tengah hari hingga 1.47 petang membabitkan lif di beberapa kawasan perumahan bertingkat dan pasar raya.

"Antara mangsa yang dilaporkan adalah seorang lelaki obesiti yang berusia 68 tahun dan wanita berusia 57 tahun yang mengalami masalah kesihatan terpaksa dibantu untuk turun dari tingkat lima sebuah klinik ekoran ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan lif tidak berfungsi.

"Panggilan kecemasan diterima termasuk di Jaya One dan Centre Stage, Seksyen 13, Petaling Jaya; Kondo Liberty, Ampang; Flat Taman Sri Sentosa; Taman Industri Kidamai, Kajang; Bangunan Miec, Serdang; Icon City, Subang; dan Green Resident," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak jam 12:39 tengah hari.

TNB dalam satu kenyataan memaklumkan gangguan melibatkan 2.2 gigawat (GW) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan.

Antara kawasan-kawasan terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.