Kedudukan Paul Yong: DUN Perak dapatkan pandangan undang-undang

Mohammad Zahir Abdul Khalid
Mohammad Zahir Abdul Khalid
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan mendapatkan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri mengenai kedudukan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang disabit kesalahan merogol pembantu rumah, pada Rabu.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Ipoh itu berada dalam maklumannya dan sudahpun dirujuk kepada Penasihat Undang-undang Negeri sebelum tindakan lanjut diambil.

"Berdasarkan laporan media, peguam kepada Paul Yong telah mendapat penangguhan hukuman dan dibenarkan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Jadi proses mahkamah ini masih belum selesai. Apa pun saya sudah rujuk perkara ini kepada Penasihat Undang-undang Negeri untuk mendapatkan pandangan rasmi," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Paul Yong, 52, disabitkan bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Bagi kesalahan tersebut, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan.

Pertuduhan ke atas beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman itu bagi pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Paul Yong yang telah menjadi wakil rakyat selama sembilan tahun memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket DAP dan dilantik sebagai Exco di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Polimek politik menyaksikan beliau keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember 2020 sebagai ahli bersekutu.

Pada Januari lepas, beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan dilantik sebagai Bendahari Agung PBM.