‘Pindaan perlembagaan elak kerajaan dipilih rakyat tak lagi berkuasa’

Dr Mahathir semasa membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat pada Rabu. Foto: Bernama
Dr Mahathir semasa membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad percaya tujuan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 adalah supaya tidak akan berlakunya kerajaan yang dipilih oleh rakyat tidak lagi berkuasa.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, disebabkan lompatan daripada parti kerajaan kepada parti lawan, sesebuah kerajaan akan hilang majoritinya dan tidak lagi dapat menjadi kerajaan.

“Ada keadaan yang mana setelah rakyat memilih kerajaan kerana tindakan beberapa orang lompat daripada parti kerajaan kepada parti lawan, kerajaan yang dipilih oleh rakyat tidak lagi menjadi kerajaan.

“Ini bermakna bahawa tidak ada demokrasi di dalam negara kita kerana orang yang kalah menang, orang yang menang kalah,” katanya

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menambah, lompatan seperti itu perlu ditegah.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya kerajaan mengemukakan usul ini supaya pihak dewan dapat membahas dan membuat keputusan.

“Sudah tentu kalau tak ada lompatan ini, hari ini yang ada di sebelah sini (pembangkang) masih lagi menjadi kerajaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut berharap RUU ini mendapat sokongan 2/3 daripada ahli Parlimen.

“Kita perlu tentukan segala peruntukan dalam usul ini ditimbang dan dilulus oleh dewan ini.

“Supaya tidak akan ada lagi keadaan yang mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat ditolak sebaliknya yang ditolak oleh rakyat menjadi kerajaan.

“Itu adalah satu perkara yang penting. Kita perlu hormati undang-undang negara dan peraturan dewan,” tegasnya.