[VIDEO] ‘Tipulah kalau cakap saya tak menyesal’

Iktibar tirai besi menyingkap kisah Amira, ibu tunggal yang menanti sinar peluang kedua di sebalik tembok Penjara Wanita Kajang, Selangor.
Iktibar tirai besi menyingkap kisah Amira, ibu tunggal yang menanti sinar peluang kedua di sebalik tembok Penjara Wanita Kajang, Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - “Tipulah kalau saya cakap saya tak menyesal. Mungkin ALLAH dah tentukan kehidupan saya kat sini untuk ubah diri saya.”

Itu antara ungkapan yang dikeluarkan seorang banduan di Penjara Wanita Kajang, Selangor, yang dikenali dengan panggilan Amira (bukan nama sebenar).

Amira, 38, adalah antara banduan yang sedang menjalani hukuman penjara disebabkan Akta Dadah Berbahaya Seksyen 39C tangkapan semula ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah lakukannya sebelum ini.

Kongsinya, dia pernah melahirkan anak di sebalik jeriji besi angkara dadah durjana tersebut sehingga membuatkan hatinya benar-benar remuk.

Bagaimanapun katanya, kehidupan di penjara sangat menginsafkan dan memberikan banyak pengajaran.

“Anak saya membesar dalam ni (penjara) sampai umur tiga tahun. Kalau saya tak bawa anak saya dekat sini mungkin saya teruskan lagi dengan kehidupan saya dekat luar tu.

“Saya masuk untuk pertama kali pada tahun 2011. Waktu itu memang penyesalan yang saya tak dapat saya lupa sampai sekarang. Cukuplah selepas saya buat banyak dosa dengan keluarga saya sampai saya tak boleh tengok muka bapa saya.

"Saya ada mak umur 80 tahun sekarang. Jadi, saya tak nak perkara sama berulang,” katanya menerusi satu video yang diterbitkan Sinar Harian bertajuk ‘Sumpah Mommy’.

Kongsi Amira lagi, sepanjang di penjara pelbagai aktiviti dilakukan, antaranya program halaqah yang memberi banyak pendedahan dalam bidang agama dan juga mengaji al-Quran.

Ibu tunggal yang menanti sinar peluang kedua di sebalik tembok Penjara Wanita Kajang itu bagaimanapun turut mengakui sudah bersedia untuk berjumpa dengan orang di sekelilingnya apabila dia dibebaskan nanti.

Akuinya, memang susah untuk mencari kepercayaan orang tetapi dia akan cuba untuk kuatkan diri demi keluarga dan anak-anak.

“Saya akan tunjuk kepada orang luar, yang kita bekas banduan bukanlah buruk seperti yang disangka.

“Orang boleh pandang hina dekat saya tetapi saya tak nak anak-anak saya kena apa yang saya rasa. Saya minta mereka belajar pandai-pandai, jadi anak yang soleh dan solehah.

“Saya sayang anak-anak saya. Walaupun mereka tiada bapa, saya kuat untuk mereka,” kongsinya dengan nada sebak.