PIDM lancar #SediaPayungKewangan

Wan Ahmad Ikram (kanan) dan Yee Ming pada Pelancaran Ikon Pengurusan PIDM 'Chief BerUang' di Kuala Lumpur pada Isnin.
Wan Ahmad Ikram (kanan) dan Yee Ming pada Pelancaran Ikon Pengurusan PIDM 'Chief BerUang' di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) telah melancarkan kempen daya tahan kewangan #SediaPayungKewangan siri kedua.

Naib Presiden Eksekutif PIDM, Wan Ahmad Ikram Wan Ahmad Lotfi berkata, PIDM akan mengadakan program kempen jelajah yang bermula dari Lembah Klang, Seremban, Melaka dan Johor.

“Kempen masih berkisarkan tentang betapa pentingnya aspek pengurusan kewangan yang betul bagi memastikan generasi Malaysia hari ini mempunyai simpanan kewangan termasuk simpanan kecemasan yang boleh membantu jika sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka,” katanya pada sidang akhbar Pelancaran Ikon Pengurusan PIDM 'Chief BerUang' di sini pada Isnin.

Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Transformasi PIDM, Lee Yee Ming.

Wan Ahmad Ikram memaklumkan, kempen berkenaan secara rasmi akan bermula pada 6 Ogos dan dijangka berakhir pada 21 Ogos itu.

“Untuk kempen kali ini kami memperkenalkan ikon pengurusan kewangan PIDM iaitu Chief BerUang yang bertindak sebagai penyampai mesej kempen melalui video animasi di akaun Instagram @chief.beruang,” ujarnya

Tambahnya, Chief BerUang dipilih sebagai ikon kerana sifat haiwan itu yang dekat dengan generasi Y.

“PIDM turut memperkenalkan Kalkulator SPK, suatu platform interaktif yang dapat mengimbangkan pendapatan dan perbelanjaan individu termasuk membuat pengiraan untuk simpanan tabung kecemasan.

“Perkhidmatan Kalkulator ini diberikan percuma dan tidak memerlukan pendaftaran,” jelasnya

Katanya lagi, sesiapa yang berminat untuk membina tabung kecemasan boleh menggunakan Kalkulator

SPK untuk menilai kecukupan kewangan mereka untuk masa kecemasan di https://www.pidm.gov.my/my/literasi-kewangan/utama.

Wan Ahmad Ikram turut memberitahu, laman web siri kempen #SediaPayungKewangan yang dilancarkan sejak 2001 sudah meraih 9.5 juta kunjungan.

“Setakat ini tiga siri video animasi pertama ‘Borak Bersama Chief BerUang’ berjaya mencatatkan 3.9 juta tontonan kumulatif di Facebook dan YouTube,” katanya.