Jakim, pejabat agama negeri runding persefahaman gaji penguat kuasa

Ahmad Marzuk
Ahmad Marzuk
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mencapai persefahaman dalam usaha menggalakkan skim Gaji Pegawai Penguat Kuasa Agama di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini kerana sebahagian Pegawai Penguat Kuasa Agama merupakan penjawat awam daripada lantikan negeri.

Menurutnya, antara aspek penting yang sedang diteliti adalah gred jawatan Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) sedia ada di setiap negeri, bilangan anggota Penguat kuasa Agama dan statistik aduan perlakuan kesalahan jenayah.

“Kerajaan amat mengambil berat terhadap kebajikan semua pekhidmatnya yang terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan. Kerajaan melalui Jakim secara konsisten meneruskan usaha memperkasa institusi penguatkuasaan agama yang terdiri daripada kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam iaitu dari skim sosial yang dilantik untuk melaksanakan tugas sebagai Penguat Kuasa Agama di negeri-negeri.

“Namun begitu, kenaikan gaji adalah tertakluk kepada pekeliling semasa yang dikeluarkan oleh kerajaan dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk melihat semula keupayaan kewangan negara untuk menampung jumlah kenaikan skim gaji tersebut.

“Walau bagaimanapun, pada masa ini Jakim sedang menjalankan kajian untuk memperkasakan institusi penguatkuasaan syariah merangkumi penyelarasan fungsi-fungsi Bahagian Penguatkuasaan Syariah dan kebajikan anggota penguat kuasa agama di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang meminta Perdana Menteri menyatakan perancangan kerajaan untuk menggalakkan skim gaji anggota penguatkuasaa JAIN di setiap negeri dinaikkan bersesuaian dengan cabaran bidang tugas mereka.