Lelaki maut kereta dipandu bertembung SUV

Lokasi kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira dan Perodua Aruz di kilometer 05, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris dekat selekoh Kampung Tajin, di Hulu Terengganu pada malam Selasa.
Lokasi kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira dan Perodua Aruz di kilometer 05, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris dekat selekoh Kampung Tajin, di Hulu Terengganu pada malam Selasa.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandu bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di kilometer 05, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris dekat selekoh Kampung Tajin, di sini pada Selasa.

Nahas berlaku kira-kira jam 10 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Ruzaini Daraman, 55 yang memandu Proton Wira maut di lokasi kejadian manakala isteri, Suhaini Abu Bakar, 47 cedera pada bahagian muka dan seorang lagi penumpang berusia sembilan tahun cedera pada kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila SUV jenis Perodua Aruz dari sebuah kediaman di Kampung Pelong, Sungai Tong di Setiu menghala ke Kuala Berang di Hulu Terengganu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Wira yang dipandu mangsa secara tiba-tiba masuk ke laluan SUV berkenaan menyebabkan pemandu kenderaan tersebut tidak sempat membrek dan mengelak lalu bertembung dengan kenderaan dipandu mangsa.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu SUV yang berusia 44 tahun cedera pada kaki sebelah kiri dan bahagian kepala, dua lagi penumpang cedera pada tangan dan kepala manakala seorang penumpang berusia enam tahun tidak mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Mohd Adli berkata, mayat mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Ujian saringan Covid-19 ke atas mangsa awal pagi tadi adalah negatif. Jenazah telah diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

"Kesemua mangsa yang terlibat nahas turut dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.