Penting untuk siasat hubungan Apandi, Jho Low: Tun M

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan adalah penting untuk menyiasat hubungan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilakukan.

Beliau juga membangkitkan beberapa persoalan kepada Mohamed Apandi yang perlu dijawab.

Ia antara lain sebagai respons atas desakan Apandi yang ingin tahu asas dan sebab keputusan dibuat untuk tidak teruskan cadangan menuntut semula Batu Puteh sebagai milik Malaysia.

"Saya telah jelaskan perkara ini (desakan Apandi) berkali-kali. Yang perlu dijelas ialah bagaimana Apandi mencadang penyelesaian kes Jho Low dengan tawaran Jho Low untuk bayar kepada Kerajaan Malaysia sebanyak RM1.5 bilion.

"Apandi telah mendakwa dahulu bahawa tidak ada kesalahan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib (Razak) dalam kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Ini bermakna Jho Low juga tidak bersalah.

"Jikalau tidak bersalah apa sebabnya Jho Low bercadang bayar kepada Kerajaan Malaysia.

"Cara orang yang tidak bersalah ialah dengan kembali ke Malaysia dan sanggup dibicara di mahkamah. Tetapi Jho Low masih tidak sanggup kembali ke Malaysia walaupun sanggup menghubungi Apandi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut mendakwa Mohamed Apandi cuai dalam menjalankan amanah sebagai Peguam Negara.

"Najib didapati bersalah dengan kesemua tuduhan di mahkamah apabila dibicara. Sekali gus keputusan Apandi bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan, ditolak oleh mahkamah apabila Najib dibicara.

"Yang menjadi soalan ialah apakah jenis hubungan Apandi dengan Jho Low semasa ia memutuskan bahawa tidak ada apa-apa kesalahan yang dibuat oleh Najib. Jika ada hubungan maka ‘conflict of interest’ berlaku.

"Keputusan Apandi menghalang mahkamah dari membicara kes Najib dan juga melindungi Jho Low.

"Adalah penting siasatan dibuat berkenaan hubungan Apandi dengan Jho Low," katanya.

Jho Low didakwa menyeleweng wang 1MDB berdepan saman AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Sebelum ini menerusi laporan sebuah portal berita yang memetik sumber mendakwa Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada Kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung kes terbabit.

Menurut laporan berkenaan tawaran oleh ahli perniagaan itu yang dirunding melalui Mohamed Apandi, bagaimanapun telah ditolak.

Mohamed Apandi bagaimanapun dilapor menjelaskan bahawa beliau bukan wakil Jho Low, sebaliknya telah dihubungi firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, Amerika Syarikat (AS) yang memohon bantuan mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada akhir Mei lalu.

AGC turut mengesahkan dalam tahun ini, Jho Low melalui wakilnya telah membuat percubaan untuk mendapatkan satu penyelesaian dengan Kerajaan Malaysia.