Tawaran RM1.5 bilion gugur kes 1MDB bukti Jho Low bersalah

Laporan Sinar Harian 15 Julai lalu. Gambar kecil: Hassan
Laporan Sinar Harian 15 Julai lalu. Gambar kecil: Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tawaran Low Taek Jho sebanyak RM1.5 bilion agar kerajaan Malaysia menggugurkan semua kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya membuktikan dia bersalah ke atas semua pertuduhan dihadapi ketika ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak tawaran itu yang diaturkan bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali adalah tepat dan betul.

Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM itu berkata, ini kerana Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low telah didakwa di mahkamah Amerika Syarikat dan di mahkamah Malaysia.

"Dia didakwa kerana terlibat dengan kesalahan jenayah kerana menipu syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia berjumlah berpuluh bilion ringgit.

"Mana boleh berlaku tawar-menawar antara si penjenayah Jho Low dengan kerajaan Malaysia? Adakah sistem keadilan di Malaysia boleh dijual beli dengan tawaran RM1.5 bilion daripada Jho Low," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, perbuatan Jho Low itu sepertu cuba merasuah kerajaan Malaysia selain mempersoalkan adakah begitu rendah pandangan Jho Low terhadap sistem kehakiman di Malaysia sehingga semuanya boleh dijual beli.

"Adakah pada pandangan Jho Low bahawa Jabatan Peguam Negara, badan Kehakiman Malaysia sanggup bersekongkol dengan penjenayah sepertinya dan boleh diajak berunding tawar menawar untuk menggugurkan pertuduhan ke atas dirinya jika ada harga yang sesuai boleh dibayar," soalnya.

Beliau mengucapkan syabas kepada Idrus, para pegawai Jabatan Peguam Negara dan pegawai SPRM mengambil pendirian menolak tawaran Jho Low yang biadab itu.

Menurutnya, jika Jho Low mempunyai maruah dan percaya tidak bersalah, maka dia patut pulang ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah dan bukan melarikan diri berselindung di negara lain.

"Tindakan Jho Low melantik firma guaman Kobre & Kin berpejabat di Washington dan seterusnya firma guaman dari Amerika Syarikat itu melantik pula Mohamed Apandi sebagai orang perantaraan perundingan dengan kerajaan Malaysia, maka tindakan Jho Low ini adalah satu pengakuan bahawa dia telah berbuat kesalahan jenayah menipu syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia," katanyà.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan Mohamaed Apandi tergamak menjadi orang perantaraan antara Jho Low dengan kerajaan Malaysia.

"Adakah betul dari segi undang-undang jenayah di Malaysia bahawa pertuduhan kesalahan jenayah di mahkamah Malaysia boleh digugurkan jika ada bayaran wang dibuat, apatah lagi jika bayarannya besar seperti RM1.5 bilion.

"Tidakkah bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali menyedari bahawa Jho Low telah terlibat dalam jenayah penipuan skandal 1MDB yang menyebabkan kerajaan Malaysia mengalamai kerugian berjumlah lebih RM50 bilion ringgit," soalnya lagi.

Beliau juga amat hairan memikirkan mengapa Idrus sanggup mengadakan perundingan berkali-kali dengan wakil-wakil Jho Low dalam satu siri perundingan yang melibatkan tawar-menawar.

Menurutnya, setelah beberapa siri perundingan berlaku pada akhirnya diberhentikan dan tawaran Jho Low itu ditolak.

"Mengapa tidak ditolak dari awal-awal lagi? Tidakkah tugas Peguam Negara ialah membawa balik Jho Low ke Malaysia untuk dibicarakan dan menjadi saksi penting kepada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak," katanya.