Malaysia perlu sistem perlindungan kukuh elak miskin di usia tua

Gambar hiasan/Foto Bernama
Gambar hiasan/Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan sistem perlindungan negara yang lebih kukuh untuk melindungi rakyatnya daripada kemiskinan pada usia tua, kata Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, Datuk Profesor Emeritus Dr Norma Mansor.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak mampu untuk bersara dengan selesa dan perlu bekerja walaupun selepas berumur 60 tahun seperti di Singapura.

"Golongan tua yang kekal dalam pekerjaan tidak mengambil alih daripada golongan muda. Mereka melakukan sesuatu yang berbeza. Kajian menunjukkan ia tidak boleh diganti,” katanya pada sesi bertajuk ‘Old-Age Poverty in Malaysia: Understanding the Societal Impact through Islamic Finance’ di sini pada Selasa.

Sesi itu adalah sebahagian daripada Invest Shariah Conference 2020 selama setengah hari anjuran bersama Bursa Malaysia Bhd dan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd.

Norma mencadangkan sistem perlindungan asas yang menyediakan jaminan kewangan selepas bersara.

"Malah, dalam kalangan mereka yang celik kewangan, mereka berasa tidak jamin dari segi kewangan dan itu sebabnya Thailand memperkenalkan pencen hari tua selepas krisis 1997.

"Apabila mereka (kerajaan Thailand) menemu bual mereka dalam kumpulan berpendapatan sederhana dan yang tinggi sedikit, (didapati) mereka tidak yakin jika tiada pendapatan asas bulanan yang menjaminkan untuk mereka,” katanya.

Norma berkata, SWRC mencadangkan pendapatan persaraan pelbagai peringkat, sekurang-kurangnya untuk pendapatan asas.

Ini adalah patuh syariah, katanya, sambil menambah peringkat pendapatan terendah perlu dibiayai cukai.

"Itu adalah tanggungjawab asas kerajaan. Peringkat kedua yang kami cadangkan ialah mewajibkan setiap rakyat Malaysia mempunyai insurans keselamatan sosial yang sama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ia boleh menjadi rendah; di Thailand, ia adalah 500 baht (kira-kira RM61) sebulan,” katanya. - Bernama