Najib jelaskan sebab tukar pasukan pembelaan

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk menukar pasukan peguam bagi mengendalikan rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International di Mahkamah Persekutuan selepas berunding dengan peguam di Singapura dan peguam bela kanan dari India.

Menerusi kenyataan pada Selasa, Najib menjelaskan, penukaran pasukan peguam itu dilakukan selepas Queen's Counsel (peguam kanan dari United Kingdom), Jonathan Laidlow, tidak dibenarkan oleh mahkamah untuk mewakilinya.

Ahli Parlimen Pekan itu mengesahkan pelantikan Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan, T H Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara untuk rayuan SRC bersama peguam kanan Hisyam Teh sebagai peguam utama.

"Pelantikan itu berkuat kuasa semalam. Peguam cara terdahulu iaitu Shafee & Co dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan terus bertindak sebagai peguam cara dan peguam dalam semua kes lain membabitkan di mahkamah.

"Saya ingin merakamkan sokongan dan penghargaan kepada seluruh pasukan guaman atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam memastikan saya mendapat perbicaraan adil,” katanya.

Dalam pada itu Najib melahirkan keyakinan bahawa pasukan baharu itu akan membawa perspektif berbeza kepada pembelaannya, terutama mengenai pertuduhan konflik kepentingan.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir kes berkenaan.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya beliau dibenarkan untuk diwakili seorang QC.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan sahaja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara-negara Komanwel.