Hisyam, peguam baharu Najib dalam rayuan akhir

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hisyam Teh Poh Teik dilantik sebagai peguam utama bagi rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi surat yang dialamatkan kepada Pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, barisan peguam lain yang akan mewakili bekas Perdana Menteri itu ialah Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam.

Firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) dalam surat itu turut memaklumkan bahawa, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir yang akan didengar oleh mahkamah pada bulan depan.

"Kami memohon supaya mahkamah merekodkan penukaran peguam cara dan peguam sepertimana dinyatakan.

"Kami juga memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh sebutan dan tarikh pengurusan baharu dengan segera mengikut keselesaan mahkamah, bagi membolehkan kaunsel mengemuka maklumat terkini dan mendapatkan arahan selanjutnya daripada mahkamah," menurut surat tersebut.

Mengikut jadual, tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 29 Julai ini manakala rayuan pada 15 hingga 26 Ogos depan.

Pihak pembelaan berharap, perkara itu boleh diuruskan dengan segera bagi mendapatkan arahan yang diperlukan daripada mahkamah.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon kebenaran untuk diwakili seorang Queen's Counsel (QC).

QC ialah peguam kanan dan berpengalaman dari United Kingdom (UK) yang diberikan tauliah khas oleh Ratu Elizabeth

Bagaimanapun pada 21 Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan peguam QC dari United Kingdom (UK), Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib.

Dalam pada itu, Hisyam merupakan peguam mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.