Lebih 14,000 kanak-kanak di Bangladesh lemas setiap tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DHAKA - Lemas menjadi punca utama kedua kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Bangladesh apabila lebih 14,000 kanak-kanak di negara Asia Selatan itu maut akibat lemas setiap tahun, lapor Xinhua.

Dalam satu kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyeru kerajaan, rakan kongsi pembangunan, masyarakat dan individu agar memainkan peranan mereka untuk meningkatkan kesedaran dan usaha mencegah kematian awal ribuan kanak-kanak di seluruh Bangladesh.

"Sungguh menyayat hati menyaksikan begitu banyak nyawa terkorban setiap tahun di negara ini sedangkan kita tahu ia boleh dicegah.

"Kami menggesa individu, masyarakat dan kerajaan untuk bersama-sama kami dalam meningkatkan kesedaran dan melakukan semampu yang mungkin untuk memastikan hak setiap kanak-kanak untuk terus hidup dan berkembang maju," kata wakil UNICEF ke Bangladesh, Sheldon Yett.

Di peringkat global, lemas meragut nyawa lebih 230,000 orang setiap tahun.

Sembilan daripada 10 kes lemas berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dengan risiko tertinggi libatkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Di Bangladesh, di kawasan darat yang sentiasa tenggelam akibat banjir tahunan, ketiadaan kesedaran dan kemahiran berenang terbukti mengancam nyawa.

Kanak-kanak di kawasan luar bandar yang membesar berhampiran dengan perairan juga terdedah kepada risiko lemas setiap hari.

"Lemas adalah kebimbangan kesihatan awam yang ketara dan punca utama ketiga kematian tidak disengajakan di seluruh dunia.

"Lemas juga merupakan antara punca utama kematian di kalangan kanak-kanak di Bangladesh.

"Ia boleh dicegah dengan cara mempertingkat kerjasama pelbagai sektor, menggalakkan kepimpinan yang kukuh dalam pencegahan lemas dan melaksanakan tindakan yang perlu untuk mencapai masa depan yang lebih selamat dan sihat untuk semua," kata Wakil WHO ke Bangladesh Bardan Jung Rana.

Bukti menunjukkan bahawa lemas boleh dicegah melalui penyelesaian kos rendah. Dengan cara meningkatkan kesedaran dalam kalangan keluarga dan komuniti, menyediakan kemahiran keselamatan dan berenang untuk kanak-kanak dan remaja, memastikan kemudahan penjagaan kanak-kanak untuk kanak-kanak prasekolah serta dasar dan pelaburan negara untuk pencegahan boleh memberikan kesan yang ketara.

Pada 2021, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) mengisytiharkan 25 Julai sebagai Hari Pencegahan Lemas Sedunia untuk mengiktiraf lemas sebagai punca utama kematian di seluruh dunia dan menekankan bahawa setiap kematian akibat lemas boleh dicegah. - Bernama