Padah gagal kemuka borang penyata cukai pendapatan

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan bagi tahun 2018 dan 2019, seorang ejen perantara restoran didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Lee Kam Onn, 34, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan, atas dua pertuduhan pindaan yang dibaca di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda.

Prosiding pada Selasa ditetapkan untuk perbicaraan kes, namun Kam Onn yang diwakili peguam menukar pengakuannya kepada bersalah.

Pada 27 September 2021, dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan berkenaan, sebagaimana diperuntukkan di bawah subseksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, tanpa alasan yang munasabah, di Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Cawangan Cheras di sini, 16 Mei 2019.

Ia merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum bawah subseksyen 112(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda antara RM200 hingga RM20,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Kam Onn, merayu agar anak guamnya diberi peluang dengan dikenakan hukuman denda yang minimum.

Menurutnya, OKS sudah berkahwin dan perlu menyara isteri serta dua anak lelaki masing-masing berusia 16 serta 11 tahun.

"Ketika kejadian, dia baru sahaja berhenti kerja sebagai pengurus sumber manusia di sebuah syarikat minyak dan beranggapan tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan bagi tahun berkenaan.

"Oleh itu, dia memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa depan," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainaa Ridzwan memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pengajaran kepada OKS.

"Setiap tahun, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi notifikasi selain tempoh kepada pembayar cukai untuk untuk melengkapkan borang tersebut.

"Ini jelas menunjukkam OKS cuai dan tidak mengendahkan keperluannya sebagai seorang Warganegara maka saya mohon kepada mahkamah supaya memberi hukuman pengajaran kepada OKS dan orang awam," katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama pada Rabu minggu lalu, seorang lelaki, Lee Han Keat didenda RM4,000 oleh mahkamah sama kerana gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan bagi tahun 2015 hingga 2018, di lokasi dan tarikh sama.

Kam Onn dan Han Keat merupakan antara 14 individu yang dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang, dikenali sebagai 'Geng Nicky', lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara membebaskan 14 individu itu, pada 7 Julai lalu, selepas Rajpal Singh yang mewakili 13 individu berkenaan memaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi kesemua perayu supaya dibebas sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Selain Kam Onn dan Han Keat, mereka yang dibebaskan ialah dua adik Nicky iaitu Datuk Liow Wei Kin dan Datuk Liow Wei Loon, manakala tertuduh lain, Datuk Lee Kum Weng; Eee Eng Chee; Dr Jovian Joris Tan Chern Chian; Datuk Loo Siew Chin; Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China, Huang Lei; Wang Yu Jun; Gu Xing Qiong serta Jiang Xue, yang berusia awal 20-an hingga 56 tahun.