Ekonomi Johor pada fasa pemulihan

Mohd Uzir ( tengah) pada Siri Jelajah Parlimen dan DUN, Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Prestasi Ekonomi Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar pada Selasa.
Mohd Uzir ( tengah) pada Siri Jelajah Parlimen dan DUN, Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Prestasi Ekonomi Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ekonomi Johor kini berada pada landasan pemulihan dengan mencatat nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM131.1 bilion pada tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM128 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, kadar pertumbuhan ekonomi yang direkodkan pada tahun lepas lebih baik iaitu pada kadar 2.4 peratus berbanding pada 2020 yang merekodkan pertumbuhan negatif 4.7 peratus.

"Struktur ekonomi Johor terus didominasi oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan.

"Sektor perkhidmatan bertumbuh pada kadar 2.6 peratus didorong oleh peningkatan dalam subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi, subsektor kewangan dan insurans serta hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

"Sektor pembuatan turut mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.5 peratus dipengaruhi oleh peningkatan pada produk elektrik, elektronik dan optikal serta peningkatan produk petroleum, kimia, getah dan plastik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar dalam Siri Jelajah Parlimen dan DUN, Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Prestasi Ekonomi Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar di sini pada Selasa.

Menurut Mohd Uzir, nilai eksport Johor turut meningkat sebanyak 20.6 peratus atau RM255.1 juta dengan barangan utama iaitu petroleum bertapis (21.9 peratus ), litar elektronik bersepadu (13.6 peratus) dan barangan elektrik dan elektronik yang lain (7.2 peratus).

"Prospek ekonomi Johor dijangkakan akan terus berkembang kesan daripada pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura. Ia akan merancakkan lagi usaha pemulihan negara.

"Melangkah ke hadapan, aktiviti perniagaan dapat diteruskan dan pada masa yang sama membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di Johor dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.