Terengganu sumber rujukan digital berkaitan ulama, ketamadunan Islam

Ariffin Deraman
Ariffin Deraman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu akan membentuk manuskrip tokoh-tokoh ulama dan ketamadunan Islam secara digital bagi merungkai perjalanan ketamadunan Islam di negeri ini dalam kaedah baharu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, antara objektif utama pendigitalan manuskrip ulama Terengganu ialah menjadikan negeri itu sebagai sumber rujukan digital berkaitan ulama dan manuskrip.

"Ia akan direalisasikan melalui kerjasama kerajaan negeri bersama Lembaga Muzium Negeri Terengganu serta Terengganu Strategic & Integrity Institute ( TSIS) untuk menarik pelbagai golongan lebih mengenali serta menghargai peranan ulama di negeri ini.

“Kita akan memelihara semua manuskrip lama terdapat di Terengganu berasaskan digital yang akan dibangunkan melalui penerapan elemen multimedia untuk menyampaikan informasi secara maya.

“Buat masa ini, ia akan dimulakan dengan menjejaki maklumat berkenaan Tokku Pulau Manis untuk divisualisasikan dalam bentuk digital dengan kerjasama dari penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Shah Mohamed (Pas-Bandar) mengenai perancangan kerajaan mempromosikan pelancongan ke tempat bersejarah kesan perkembangan Islam di Terengganu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, pada Selasa.

Kata Ariffin, Ulama Trail juga akan diwujudkan dengan mengenalpasti laluan dan kesan-kesan sejarah yang membawa kepada perkembangan Islam di Terengganu sebagai satu fokus pelancongan baharu kepada mereka yang berkunjung ke negeri tersebut.

Tambah beliau, antara lokasi dikenalpasti melibatkan Makam Tok Pelam, Makam Tokku Paloh, Makam Tokku Pulau Manis, Masjid Hiliran, Kota Duyung, Masjid Rusila, Makam Tok Gajah dan Memorial Batu Bersurat.