Lelaki ditahan sorok minyak masak peket

KPDNHEP Kelantan merampas 2,210 kg minyak masak peket bersubsidi yang cuba disorok di tempat yang tidak dilesenkan dalam serbuan di Kok Lanas, Kota Bharu pada Isnin.
KPDNHEP Kelantan merampas 2,210 kg minyak masak peket bersubsidi yang cuba disorok di tempat yang tidak dilesenkan dalam serbuan di Kok Lanas, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki ditahan selepas menyorok 2,210 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi di tempat yang tidak dilesenkan dalam serbuan di Kok Lanas, di sini pada Isnin.

Lelaki tersebut ditahan dalam serbuan jam 5 petang bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat risikan yang diperoleh berhubung aktiviti terbabit.

"Bertindak atas maklumat, pasukan operasi telah membuat serbuan ke atas sebuah premis borong berlesen dalam keadaan mencurigakan dikesan memiliki barang kawalan disyaki untuk diselewengkan.

"Hasil pemeriksaan dijalankan, kami menjumpai 2,210 kg minyak masak peket serta 1,680 kg gula peket," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan disyaki melanggar undang-undang bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengalih barangan di tempat yang tidak dilesenkan.

Katanya, lelaki tersebut turut dikesan melanggar Perkara 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan 1974.

Aswadi berkata, nilai rampasan barangan kawalan dianggarkan RM10,313.

"KPDNHEP Kelantan memberi amaran keras kepada mana-mana peniaga atau individu yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas serta pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan," katanya.