Tiga laluan risiko maut dikenal pasti

 Mohd Zakaria melawat pesakit di HTAA pada program terbabit, hari ini.
Mohd Zakaria melawat pesakit di HTAA pada program terbabit, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang sudah mengenal pasti tiga laluan berisiko tinggi yang menyebabkan kemalangan maut di negeri ini.

Laluan terbabit ialah Jalan Pekan-Rompin, Jalan Maran-Kuantan dan Jalan Kuala Lipis-Merapoh.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, laluan tersebut telah dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlakunya kemalangan maut dan kecederaan parah membabitkan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut, pihaknya mencadangkan supaya papan tanda amaran yang mempamerkan jumlah kemalangan, kematian dan kecederaan dipasang di tiga lokasi tersebut.

“Kita telah meminta semua ketua polis daerah supaya membawa perkara ini kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Daerah masing-masing supaya mematuhi cadangan tersebut.

“Pemasangan papan tanda ini akan memberi peringatan atau amaran kepada pengguna jalan raya khususnya pemandu supaya mereka lebih berhati-hati ketika melalui jalan-jalan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Hospital Sempena Sambutan Hari Polis Ke-212 di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan; Pengarah HTAA, Dr Norazmi Abdullah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Datin Seri Noor Amirzah Othman.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zakaria berkata, beliau berharap cadangan ini dapat dilaksanakan oleh pihak berkaitan dalam usaha memberi peringatan kepada pengguna jalan raya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zakaria berkata, setiap warga PDRM yang berusia 40 tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Katanya, arahan itu telah dikeluarkan dan mereka perlu menjalani ujian kesihatan bagi mengesan status kesihatan diri mereka.

“Di negeri ini dianggarkan 50 peratus anggota dalam lingkungan usia itu dan kita arahkan mereka jalani ujian kesihatan.

“Malah, kita juga telah menetapkan jadual bagi mereka menjalani latihan kecergasan fizikal di setiap daerah bagi memastikan setiap individu memiliki berat badan yang ideal yang menjadi syarat pertimbangan untuk kenaikan dan pengesahan pangkat,” katanya.

Selain itu, Mohd Zakaria memberitahu, seramai 333 pesakit yang terdiri daripada anggota polis dan keluarga telah menerima rawatan di HTAA bagi tempoh Januari 2018 sehingga Februari tahun ini.

Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dengan kerjasama yang diberikan terutamanya dalam penyediaan laporan berkaitan kes.