Maximus tolak cadangan perjanjian baru ganti MA63

Maximus menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Maximus menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menolak cadangan untuk mengadakan perjanjian baru bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, Perjanjian Malaysia 1963 adalah ‘suci’ dan merupakan asas pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Yang bermaksud tiada MA63, tiada Malaysia. Tiada siapa yang harus mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

“Mana-mana pandangan yang mencadangkan perjanjian baru Malaysia adalah pandangan yang terpesong dari perjuangan nasionalisme negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang bertanyakan cadangan beberapa ahli politik berkenaan keperluan perjanjian baru bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 sewaktu pertanyaan menteri.

Maximus menegaskan, apabila Perjanjian Malaysia 1963 diabaikan, ia bermakna membelakangkan Persekutuan Malaysia.

“Pandangan sebegini sangat mengelirukan, jauh tersasar dan tidak selaras pindaan perlembagaan yang telah diluluskan di Dewan Rakyat yang mana Perjanjian Malaysia 1963 kini telah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, MA63 amat penting kerana tanpanya, tidak akan ada rujukan dan asas untuk membincangkan isu-isu yang dapat memberikan manfaat kepada Sabah dan Sarawak.

“Kita harus memberi tumpuan kepada perkara seperti sama ada perkara yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia telah dipatuhi dan sama ada hak itu ada yang masih belum dipenuhi maka tanggungjawab kita untuk sama-sama memastikan ianya dilaksanakan,” ujarnya.