Impak positif Liga Simpanan

Skuad FAM-MSN mendapat pendedahan terbaik apabila beraksi dalam saingan Liga Premier sejak musim lalu.
Skuad FAM-MSN mendapat pendedahan terbaik apabila beraksi dalam saingan Liga Premier sejak musim lalu.
A
A
A

SAINGAN Liga Simpanan yang bakal diperkenalkan mulai depan bukan sahaja perlu dilihat daripada aspek pembangunan, sebaliknya pembaharuan positif kepada ‘persediaan awal’ pemain muda sebelum melangkah ke pentas Liga Super.

Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata, saingan Liga Simpanan akan menjadi platform terbaik dalam membentuk prestasi barisan pemain bawah 23 tahun (B-23) tahun di peringkat lebih tinggi.

Malah, Kim Swee yang juga bekas pengendali Harimau Malaya dan skuad B-23 negara percaya barisan pemain muda akan mendapat lebih banyak minit permainan apabila kerap diturunkan dalam saingan liga yang lebih kompetitif.

“Sebelum ini, kita ada Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang mana selepas tamat persekolahan, pemain-pemain yang biasanya berusia 18, 19 dan 20 tahun akan diserapkan menyertai Skuad Projek FAM-MSN.

“Bagaimanapun, bagi kelompok pemain B-23, mereka tidak berpeluang untuk beraksi dalam liga utama kita sedangkan peringkat umur seperti itu sangat penting kerana terdapat beberapa kejohanan utama.

“Jadi dengan wujudnya saingan Liga Simpanan mulai musim depan, saya menganggarkan lebih 150 pemain B-23 akan beraksi dalam perlawanan kompetitif pada setiap minggu.

“Ia secara tidak langsung dapat memudahkan jurulatih pasukan kebangsaan apabila mereka mempunyai lebih banyak pilihan pemain daripada kelompok pemain B-23 ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Minggu lalu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan penstrukturan Liga Malaysia (Liga-M) dengan meningkatkan penyertaan saingan Liga Super kepada 18 pasukan berbanding 12 pasukan sebelum ini.

Pada masa sama, badan pengelola Liga-M itu turut menubuhkan Liga Simpanan bagi menggantikan Liga Premier yang menjadi pentas kepada pembangunan pemain B-23 bagi memastikan jaminan minit permainan.

Namun, MFL turut memperkenalkan kuota lima pemain lebih umur termasuk lima pemain import (dua import dibenarkan beraksi dalam satu-satu masa) untuk memastikan kualiti perlawanan Liga Simpanan dipertingkatkan.

“Saya tidak melihat kewujudan Liga Simpanan ini akan ‘mengganggu’ perjalanan Piala Presiden atau Piala Belia. Saya tak nampak ia sebagai satu masalah kerana selepas ini di setiap peringkat umur, kita ada pasukan yang mantap.

“Mungkin masalahnya, pasukan terpaksa berbelanja lebih sedikit berbanding sebelum ini. Namun, bagi saya untuk dapatkan pasukan yang baik, kita harus ‘melabur’ demi pembangunan bola sepak negara,” ujar pengendali Sabah FC itu.