'Saya tak terima wang UKSB, sedia disiasat' - Tun M

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR
A
A
A

LANGKAWI - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan menerima sumbangan wang daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti didakwa bekas Pengurus Pentadbiran syarikat berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.

Beliau sebaliknya berkata, pihak yang mendakwa dirinya menerima dana tersebut sepatutnya tampil dengan bukti dan bukan hanya sekadar bercakap kosong.

Menurut Dr Mahathir, bagaimanapun beliau bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.

"Saya tak terima (wang dana) itu. Kalau dia boleh tunjuk bukti, saya terima, ini nak cakap senang.

"Kalau ada orang bagi duit kat saya tunjuklah, siapa yang bagi, saya tidak pernah terima duit itu," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama pengusaha bot pelancongan di Jeti Tanjung Rhu di sini, pada Isnin.

Ahli Parlimen Langkawi itu tegaskan, beliau bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu itu.

"Saya bersedia, tunjukkan bukti yang saya ada (duit). Banyak tuduhan yang dibuat kepada saya kononnya saya kaya ada duit berbillion ringgit simpan di Switzerland dan Taiwan," katanya lagi.

Dr Mahathir mendakwa situasi tersebut tidak sama dengan kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita tunjuk bukti Najib ada pegang duit, ada cek yang dia tandatangani dan ada akaun bank.

"Pergilah periksa akaun bank saya, tiada masalah," katanya lagi.

Dr Mahathir memberitahu, tiada orang tengah yang digunakan bagi tujuan penerimaan dana yang dikatakan itu.

"Kalau dia bagi pada orang lain, orang itu kata dia akan bagi kepada saya. Yang itu lainlah tapi saya sendiri tak dapat (duit).

"Kadang-kadang SPRM ada panggil jugalah, panggil kita jawablah," katanya.

Pada Isnin, ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, mendakwa Dr Mahathir menerima sumbangan RM2.6 juta daripada syarikatnya.

Siong Sun berkata, sumbangan itu adalah untuk kegunaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diberikan menerusi anak saudara Dr Mahathir, Tan Sri Rahmat Abu Bakar.

Saksi pendakwaan itu juga berkata, kod nama 'Kedahan' digunakan untuk Rahmat dalam buku lejar UKSB menunjukkan aliran keluar wang syarikat berkenaan.