SPRM ambil dokumen projek musang king di Gunung Inas

Puncak Gunung Inas yang dirakam selepas tragedi kepala air pada Isnin lalu.
Puncak Gunung Inas yang dirakam selepas tragedi kepala air pada Isnin lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil beberapa dokumen dari agensi berkaitan membabitkan projek tanaman durian musang king di Gunung Inas selepas ia didakwa antara punca kejadian banjir dan kepala air di Kupang, Baling.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pegawai penyiasat juga akan berkunjung ke beberapa agensi lagi bagi mendapatkan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, bagaimanapun siasatan masih di peringkat awal dan belum dapat dipastikan terdapat sebarang kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM.

“Ada dokumen yang telah pun diperolehi. Sebahagian lagi dokumen akan dilakukan setelah kita tetapkan tarikh untuk hadir ke agensi terbabit,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Pada 18 Julai, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan beliau mengetahui identiti individu yang menandatangani dokumen berkaitan projek ladang musang king di Gunung Inas.

Bagaimanapun, beliau meminta pihak pembangkang tidak memaksa untuk didedahkan nama individu yang bertanggungjawab meluluskan projek tersebut.

Maklumat tersebut diperolehi setelah beliau menerima laporan daripada Jabatan Perhutanan berhubung tragedi berkenaan, sekali gus menyaksikan sendiri surat kelulusan bagi projek terbabit.

Shaharom Nizam memaklumkan, setakat ini belum ada mana-mana individu atau pihak yang tampil membuat laporan rasmi kepada SPRM berhubung wujudnya elemen rasuah atau penyelewengan berkaitan kes terbabit.

“Siasatan masih dijalankan berdasarkan kepada maklumat sedia ada. Pihak kami sendiri membuat siasatan awal untuk mengenal pasti kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM.

"Sekiranya ada kesalahan yang dikesan bawah bidang kuasa pihak berkuasa lain, SPRM akan serahkan untuk tindakan pihak berkuasa berkenaan,” katanya lagi.

Shaharom Nizam turut menggesa individu atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan isu terbabit agar tampil memberikan kerjasama.

Banjir lumpur pada 4 Julai itu mengakibatkan tiga nyawa terkorban, manakala beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas.

Kepala air pada 4 Julai lalu menyebabkan 42 kampung terjejas di Gunung Inas.
Kepala air pada 4 Julai lalu menyebabkan 42 kampung terjejas di Gunung Inas.

Pada 6 Julai, Muhammad Sanusi menegaskan beliau tidak mempunyai kepentingan terhadap projek tanaman durian musang king di Gunung Inas, yang didakwa antara penyebab bencana tersebut.

Beliau sebaliknya tegaskan, arahan supaya menghentikan penanaman durian itu dikeluarkan pada Julai 2020, iaitu selepas dua bulan beliau menjadi Menteri Besar yang turut melibatkan arahan kerja penanaman tanaman tutup bumi.