Simpanan RM4,000 lesap

Anisa menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas akaun banknya digodam dan berlaku transaksi tanpa kebenaran.
Anisa menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas akaun banknya digodam dan berlaku transaksi tanpa kebenaran.
A
A
A

SUNGAI UDANG – Hasrat seorang peniaga atas talian untuk membuat simpanan Tabung Haji lebur apabila wang simpanannya berjumlah RM4,000 ‘lesap’ gara-gara sindiket penipuan ‘scammer’.

Lebih memeranjatkan, akaun simpanan milik ibu dua anak terbabit dipercayai digodam individu tidak bertanggungjawab sejak 25 Mac lalu meskipun tanpa sebarang perkongsian maklumat peribadi.

Mangsa, Anisa Md Som, 34, menjelaskan, dia tidak dapat membuka akaun bank secara atas talian disebabkan masalah teknikal bagaimanapun tidak menyedari bahawa rupa-rupanya akaunnya digodam.

“Saya terkejut terima sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) bagi pengeluaran wang sebanyak RM4,444 pada 27 Mac lalu.

“Masa tu saya hairan kenapa ada SMS TAC sedangkan tak buat sebarang pengeluaran. Tak lama lepas tu dapat mesej dari WhatsApp seorang lelaki yang tak dikenali konon isterinya tersilap hantar.

“Dia kenalkan diri sebagai Wan Adzim Muz dan minta saya tangkap layar SMS tu dan hantar semula ke nombornya, tapi saya tak layanlah sebab dah terdetik ni kes menipu dan terus ‘block’.

“Lepas tu, lelaki tu telefon lagi pakai dua nombor berbeza. Saya memang terus ‘block’ dan terus tergerak nak semak akaun, memang tak boleh masuk sebab password salah,” katanya.

Lebih mengejutkan katanya, tidak sampai dua jam kemudian dia menerima satu lagi SMS yang memaklumkan sebanyak RM4,000 dikeluarkan untuk pembayaran pembiayaan PTPTN.

Artikel Berkaitan:

“Mulanya saya ingat ini main-main jadi saya abaikan saja. Tapi bila saya berjaya masuk portal bank selepas kena buat pengesahan beberapa kali, tak sangka memang duit betul-betul dipindahkan ke akaun PTPTN melalui paybill.

“Bila semak dengan pihak bank, mereka nasihatkan saya supaya buat laporan polis sebab kes penipuan scammer ini lain macam, sebab saya tak buat sebarang perkongsian maklumat peribadi atau nombor TAC.

“Memang hancur impian saya nak simpan duit buat Tabung Haji dan ASB...banyak nak guna duit sebab baru pindah rumah dengan anak masih kecil. Bayangkan duit yang kita penat-penat kumpul lesap macam tu saja.

“Duit yang ada tinggal berapa saja. Nak beli untuk tambah-tambah barang rumah pun tak cukup,” katanya yang turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.