Bekalan makanan asas di Selangor kekal stabil – PKPS

Mohamad Khairil (gambar kecil) berkata, PKPS melaksanakan pelbagai strategi mitigasi menerusi PeTA dan SEED2030 bagi memperkukuh kesiapsiagaan sektor agromakanan negeri.
Mohamad Khairil (gambar kecil) berkata, PKPS melaksanakan pelbagai strategi mitigasi menerusi PeTA dan SEED2030 bagi memperkukuh kesiapsiagaan sektor agromakanan negeri.
A
A
A

SHAH ALAM – Bekalan makanan asas di Selangor kekal stabil dan mencukupi meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global serta risiko gangguan rantaian bekalan dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana ekosistem sekuriti makanan negeri sentiasa dipantau bagi memastikan bekalan mencukupi.

Menurutnya, PKPS melaksanakan pelbagai strategi mitigasi menerusi Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) dan Pelan Transformasi Agribisnis (SEED2030) bagi memperkukuh kesiapsiagaan sektor agromakanan negeri.

“Ini merangkumi pengukuhan stok penimbal menerusi Gudang Makanan Selangor (GMS), pengurusan rantaian logistik agromakanan yang cekap serta pemerkasaan hasil pertanian tempatan menerusi projek berskala komersial di Selangor Fruit Valley.

“PKPS menyambut baik fokus Perdana Menteri dalam mempertingkat kesiapsiagaan sektor strategik negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa berhubung usaha kerajaan memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.

Tambahnya, PKPS juga bersedia menyelaraskan tindakan bersama kementerian dan agensi keselamatan Persekutuan bagi memastikan sebarang gangguan rantaian logistik global tidak menjejaskan akses bekalan makanan serta kestabilan harga barangan keperluan harian.

Dalam pada itu, PKPS turut memperkukuh rangkaian bekalan makanan asas menerusi pemantauan inventori komoditi utama termasuk ayam, telur, daging, beras, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran secara konsisten di semua ladang serta pusat jualannya.

Usaha berkenaan turut disokong pelaksanaan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan barangan makanan asas dapat dinikmati kumpulan sasar pada harga berpatutan.

Artikel Berkaitan:

Program itu beroperasi menerusi enam lori setiap hari, kecuali Jumaat dan cuti umum, selain jualan mingguan di outlet statik Ehsan Mart.

Inisiatif berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan, malah membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Sehubungan itu, PKPS menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih menerusi saluran rasmi kerajaan dan tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi tidak berasas berhubung isu bekalan makanan.

Terdahulu, Anwar menjelaskan langkah proaktif kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan rentas agensi bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik global dan gangguan rantaian bekalan dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menegaskan negara tidak berada dalam situasi kecemasan dan stok makanan negara masih mencukupi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!