[VIDEO] 33 pondok tahfiz musnah dalam kebakaran

Anggota bomba dari BBP Gebeng dan Indera Mahkota melaksanakan kerja-kerja pemadaman.
Anggota bomba dari BBP Gebeng dan Indera Mahkota melaksanakan kerja-kerja pemadaman.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 33 pondok tahfiz Madrasah Al Imaniyah Kampung Darat Sungai Ular di sini musnah dalam kebakaran pada Ahad.

Dalam kebakaran kira-kira jam 9 pagi itu tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan ketika kejadian pondok berkenaan tanpa penghuni kerana semua pelajar sedang bercuti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, terdapat kira-kira 100 buah pondok di madrasah itu dan 33 daripadanya musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.37 pagi sebelum 19 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dan Indera Mahkota dikerah ke lokasi untuk operasi pemadaman.

"Ketika anggota tiba, api sedang marak dan ketika itu, 21 daripadanya sedang terbakar.

"Anggota berdepan kesukaran untuk mengawal kebakaran ekoran kedudukan pili bomba terlalu jauh dan terpaksa menggunakan sumber air lain untuk mengawal dan memadam kebakaran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Wan Muhammad Zaidi berkata, selain itu, struktur pondok daripada kayu dan jarak kedudukan setiap pondok terlalu rapat menyumbang kepada kebakaran merebak dengan cepat.

Anggota bomba memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Anggota bomba memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

"Difahamkan kebakaran berpunca dari salah satu pondok di barisan belakang bagaimanapun setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, kebakaran madrasah itu adalah yang pertama melibatkan pusat tahfiz di Pahang tahun ini.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang juga penduduk kampung itu, Rusdi Abdul Rahman,41 berkata, ketika kejadian dia berada di rumah tidak jauh dari kawasan madrasah tersebut.

Menurutnya, dia terdengar seakan bunyi letupan sebelum ternampak asap tebal dari arah pusat pengajian agama itu.

"Saya segera datang ke sini dan mendapati beberapa pondok sedang terbakar.

"Saya cuba membantu memadam kebakaran namun gagal kerana api marak begitu cepat lalu menghubungi pihak bomba untuk bantuan," katanya.

Rusdi berkata, ketika itu semua pelajar sedang bercuti dan tiada di pondok tersebut.

"Saya cuba juga membantu menyelamatkan barang murid pelajar yang berada di pondok tersebut namun hanya sebahagian sempat diselamatkan," katanya.

Seorang pelajar madrasah itu, Mohd Fadlulah Ab Ghani,35 berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya juga di kawasan kampung berkenaan.

Dia hanya mengetahui tentang kejadian selepas dihubungi seorang rakan.

"Saya segera ke sini namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana api sedang marak," katanya.