Pengurus syarikat mengaku tidak bersalah beri rasuah

Jian Yet (dua dari kanan) dikenakan ikat jamin RM5,000 selepas didakwa cuba merasuah Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBIB ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesysen Johor Bahru pada Ahad.
Jian Yet (dua dari kanan) dikenakan ikat jamin RM5,000 selepas didakwa cuba merasuah Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBIB ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesysen Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengurus syarikat pembekal daging sejuk beku tidak halal mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas dakwaan memberi suapan RM3,000 kepada Ketua Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada Februari lalu.

Tertuduh, Ma Jian Yet, 31, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Jian Yet didakwa memberi suapan kepada Ketua Jabatan Penguatkuasaan MBIP, Raja Abu Bakar Raja Yahya sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Syarikat Yean Yean.

Tindakan penguatkuasaan itu dibuat ejen kerajaan berkenaan kerana syarikat terbabit menjalankan perniagaan tanpa lesen dan gagal mematuhi notis memberhentikan perniagaan.

Disebabkan kesalahan terbabit, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mengikut fakta kes, tertuduh hadir di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu dan telah menawarkan rasuah kepada ketua jabatan penguatkuasaan terbabit supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Peguam tertuduh, Chuah Shyue Chien memohon jaminan yang minimum kerana anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua anaknya berusia satu dan tiga tahun.

"Tertuduh juga perlu menanggung ibu dan bapanya yang uzur. Selain itu tertuduh juga tidak pernah gagal dalam memberikan kerjasama penuh dengan SPRM sehingga kini," katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan sebutan semula kes pada 28 Julai ini.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dayang Masneh Deh.