Stor haram kegiatan seleweng diesel bersubsidi diserbu

Pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa lokasi serbuan di Persiaran Mutiara Galla, Seremban pada Sabtu. - Foto KPDNHEP Negeri Sembilan
Pasukan Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa lokasi serbuan di Persiaran Mutiara Galla, Seremban pada Sabtu. - Foto KPDNHEP Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menyerbu tempat penternakan haiwan yang dijadikan stor haram bagi kegiatan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi jenis diesel di Persiaran Mutiara Galla, di sini pada Sabtu.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, serbuan kira-kira jam 1 petang itu membabitkan penahanan empat lelaki selain pihaknya turut menyita 14,000 liter diesel untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan sebanyak RM30,100.

Selain itu katanya, sebuah lori satu tan yang diubah suai, tangki petak serta peralatan-peralatan digunakan di tempat serbuan seperti pam penyedut bahan api turut disita dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes itu adalah RM55,300.

"Ketika serbuan, terdapat empat lelaki warganegara tempatan berumur lingkungan 25 hingga 44 tahun dalam keadaan mencurigakan sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan diesel dari sebuah lori satu tan yang dipercayai telah diubah suai ke dalam tangki petak di stor berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 13 tangki petak yang berisi diesel dan 18 unit tangki petak kosong," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis dan suspek yang ditemui di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen atau permit atau permit khas atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan Barangan Kawalan Berjadual.

Sehubungan itu katanya, empat lelaki terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kejayaan kes itu adalah hasil maklumat risikan yang telah dijalankan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan selama dua minggu.

"Modus operandi sindiket ini menggunakan lori-lori yang telah diubah suai dengan tangki tambahan untuk membuat pembelian diesel dari stesen minyak di sekitar Seremban sebelum dihantar untuk penyimpanan di lokasi serbuan.

"Sindiket ini disyaki menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat penyelewengan diesel bersubsidi sejak dua bulan yang lalu.

"Stor ini juga dipercayai disewa daripada individu lain yang sebelumnya merupakan tempat penternakan haiwan," katanya.

Jelasnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan, apa-apa barang kawalan disimpan di mana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.

Sementara itu katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian antaranya melalui portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my), Call Centre 1 800 886 800 atau di talian WhatsApp 019-2794317.