Pahang meterai perjanjian lebih RM9 bilion

Wan Rosdy (tengah, kiri) dan Hock San (tengah, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Dr. Sallehuddin (dua kiri)yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang dan Hock Sing yang mewakili Casa Inspirasi (dua kanan) pada program yang diadakan di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Wan Rosdy (tengah, kiri) dan Hock San (tengah, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Dr. Sallehuddin (dua kiri)yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang dan Hock Sing yang mewakili Casa Inspirasi (dua kanan) pada program yang diadakan di Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Pahang memeterai perjanjian bernilai RM9 bilion bagi projek pembangunan bercampur di Genting Highlands.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek pembangunan bercampur itu terdiri daripada pangsapuri servis, rumah teres dua tingkat, rumah bandar, banglo dan institusi pendidikan dan kemudahan awam di Genting Permai, Genting Highlands.

“Alhamdulillah, satu lagi pelaburan berjaya dimeterai pada majlis menandatangani memorandum perjanjian bagi projek pembangunan perumahan, pelancongan dan Pusat Komersial di Genting Permai, antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Casa Inspirasi Sdn Bhd.

“Nilai pembangunan kasar projek ini dijangka melebihi RM9 bilion,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook miliknya pada Sabtu.

Sesi menandatangani perjanjian itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Razihan Adzharuddin yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang manakala Casa Inspirasi Sdn Bhd pula diwakili Datuk Seri Mejar Lim Hock Sing dan disaksikan Datuk Seri Adnan Wan Mamat.

Majlis menandatangani turut disaksikan Wan Rosdy dan Pengerusi Eksekutif Casa Inspirasi Sdn. Bhd, Tan Sri Lim Hock San.

Wan Rosdy menjelaskan, kerajaan Pahang menerima replika cek bernilai RM4.89 juta daripada pihak Casa Inspirasi sebagai bayaran komitmen syarikat kepada kerajaan negeri.

Katanya, bayaran itu juga merupakan aku janji bagi memastikan projek pembangunan, pelancongan dan pusat komersial di Genting Highlands berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Semoga dengan perjanjian yang dimeterai ini akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dan memberi manfaat buat negeri dan rakyat Pahang.

“Saya optimis bahawa Kerajaan Pahang mampu menarik pelaburan berjumlah RM18 bilion pada tahun ini, seperti mana yang disasarkan,” katanya.