Pemuda PH dakwa pempengaruh fitnah kerajaan negeri

Mohamad Afif (empat dari kiri), Ahmad Shahir (lima kiri),dan Muhammad Syakir Fitri (enam kiri) menunjukkan laporan polis berkenaan.
Mohamad Afif (empat dari kiri), Ahmad Shahir (lima kiri),dan Muhammad Syakir Fitri (enam kiri) menunjukkan laporan polis berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan membuat satu laporan polis terhadap seorang pempengaruh lelaki yang didakwa memfitnah kerajaan Negeri Sembilan menerusi satu video tular di aplikasi TikTok.

Naib Ketua 3, Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, video berdurasi 59 saat itu memaparkan pempengaruh terbabit didakwa menggunakan data yang dimanipulasi mengenai surau di negeri ini yang berkurangan.

"Tuduhan yang dibuat seolah-olah kerajaan Negeri Sembilan mengurangkan bilangan surau atas sebab tiada peruntukan sedangkan perkara tersebut adalah sebaliknya.

"Bilangan surau terbabit bukan berkurangan tetapi disebabkan berlaku naik taraf kepada surau Jumaat. Malah berdasarkan maklumat yang kami perolehi tiada lagi surau yang ditutup di Negeri Sembilan termasuk di perkampungan Orang Asli," katanya dalam sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban pada Jumaat.

Jelasnya, pempengaruh tersebut juga dilihat mengulangi ayat seolah-olah kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukkan untuk hal-hal agama Islam namun berbeza dengan pesta-pesta maksiat.

"Hal ini secara jelas dilakukan dengan niat jahat, sekiranya hanya sekadar 'content' pempengaruh itu tidak boleh sewenang-wenangnya memanipulasi fakta yang ada untuk mengelirukan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shahir berkata, dalam video sama, pempengaruh terbabit turut menyebut kerajaan negeri telah meluluskan Pesta Arak Terbesar di Negeri Sembilan iaitu di Nilai.

" Isu ini juga satu tuduhan jahat yang sengaja dinyatakan untuk memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

" Berdasarkan maklumat, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hanya meluluskan kebenaran perniagaan bukannya pesta arak.

" Jadi satu laporan polis telah dibuat hari inidi bawah Akta Hasutan 1948 dan kami menuntut pempengaruh itu memadam video tersebut serta membuat permohonan maaf kepada pihak kerajaan Negeri Sembilan di atas fitnah yang dilakukan," katanya.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Exco Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Muhammad Syakir Fitri Sadri yang mewakili Pemuda Pakatan Harapan Negeri Sembilan berhubung video berkenaan di IPD Seremban pada jam 12.11 tengahari Jumaat.

Hadir sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Seremban, Mohamad Afif Anuar.