Jangan bebani ummah dengan isu khilafiah yang berlarutan

Umat Islam wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah terus dihayati dan diamalkan. (Gambar hiasan)
Umat Islam wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah terus dihayati dan diamalkan. (Gambar hiasan)
A
A
A

IPOH - Ummah tidak sepatutnya dihimpit dengan isu-isu khilafiah yang membebankan sedangkan perkara tersebut berjaya dirungkai dengan bijaksana oleh ulama terdahulu.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi khutbah Jumaat berkata, sekiranya perkara-perkara khilafiah terus berlarutan, dikhuatiri akan menjejaskan tumpuan umat Islam dalam menangani pelbagai isu lebih besar seperti kepimpinan, kenegaraan, keamanan, gejala sosial, rasuah, kemiskinan dan pendidikan.

"Aliran pemikiran yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Waljamaah hendaklah dielakkan dan dijauhi.

"Baginda Sultan Perak pernah menzahirkan peringatan bahawa penularan pelbagai aliran pemikiran lama dan baharu yang menongkah arus pegangan Ahli Sunnah Waljamaah merupakan satu cabaran yang bakal merungkai pegangan aqidah dan boleh memporak-perandakan ummah.

"Oleh yang demikian, ulama dan cendekiawan Islam hendaklah mencari titik pertemuan dan kata sepakat menangani isu berkaitan daripada berlarutan," menurut kandungan khutbah berkenaan.

Khutbah yang bertajuk 'Pegangan Ahli Sunnah Waljamaah: Mengukuhkan perpaduan ummah' itu menegaskan, pegangan Ahli Sunnah Waljamaah adalah satu-satunya aqidah dan pegangan yang diyakini serta dijamin selamat daripada azab api neraka oleh Rasulullah SAW.

Katanya, selari dengan itu, ummah wajib berganding bahu memastikan pegangan tersebut terus dihayati dan diamalkan serta bersama membanteras dengan melaporkan kepada pihak berkuasa mana-mana ajaran yang bertentangan dengannya.

"Janganlah kita mensia-siakan masa menyibukkan diri pada perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat atau yang berkemungkinan mengakibatkan umat berselisih faham hingga menjejaskan perpaduan.

"Perkukuhkan ilmu agama dengan mempelajarinya dari agamawan yang berkelayakan serta memiliki tauliah mengajar daripada pihak berkuasa," katanya.

Pengisian khutbah turut menyentuh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 memutuskan bahawa umat Islam di negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam berpaksikan Ahli Sunnah Waljamaah daripada segi aqidah, syariah dan akhlak.

Jelasnya, berpaksikan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang berpegangan mazhab Asyairah dan Maturidiyah dari sudut aqidah, mazhab Syafii dari sudut fiqah dan mazhab al-Junaid dan al-Ghazaliy dari sudut akhlak, umat Islam di Malaysia telah berjaya disatukan.

"Jasa Imam Syafii, Imam Asya’ari dan Imam Ghazaliy begitu bermakna kepada ummah. Mereka telah memudahkan ummah untuk memahami ilmu aqidah, fiqah dan akhlak.

"Sentuhan mereka telah diteruskan oleh para ulama Nusantara sehingga terzahir kesatuan pemikiran dalam kalangan umat Islam di rantau ini, berupaya menepis isu-isu khilafiah yang boleh membawa perpecahan ummah," katanya.