Etika, UKM promosi kelestarian alam sekitar

Lebih 300 peserta menyertai kempen 'It's Time for Our River' di Taman Rekreasi Sungai Langat, Bangi baru-baru ini.
Lebih 300 peserta menyertai kempen 'It's Time for Our River' di Taman Rekreasi Sungai Langat, Bangi baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengedar minuman, Etika Sdn Bhd (Etika) bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempromosikan rawatan air sungai sebagai sokongan terhadap kelestarian alam sekitar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei), Santharuban Thurai Sundaram berkata, program It’s Time for Our River merupakan aktiviti mendidik komuniti menerusi pendekatan biologi dalam pemuliharaan sumber air.

Sebagai permulaan katanya, Etika dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM telah melaksanakan program pembersihan sungai di Taman Rekreasi Sungai Langat, Bangi baru-baru ini.

"Sejak kebelakangan ini kita dapat lihat kemerosotan kualiti air akibat individu yang tidak bertanggungjawab sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada persekitaran. Setiap daripada kita bertanggungjawab dan mempunyai akauntabiliti terhadap keadaan sungai, namun tidak semua orang mengetahui bagaimana untuk menjaga alam sekitar.

“Justeru FST memainkan peranan mereka untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran tentang bagaimana kita dapat mencapai objektif ini.

"Dengan kehadiran lebih 300 peserta membantu membersihkan sungai, ia membuktikan masih ramai individu yang ambil peduli tentang alam sekitar. Oleh itu, kami yakin dapat meneruskan usaha menjaga sungai untuk generasi akan datang," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Menerusi pelan hala tuju, Etika juga bertekad untuk meneruskan beberapa inisiatif lain seperti pemasangan panel solar, pembelian tenaga hijau dari grid, kitar semula sisa tumbuhan kepada baja serta usaha mengurangkan pelepasan karbon dan penjimatan air.

"Etika sentiasa berusaha untuk memastikan amalan dan inisiatif kelestarian sejajar dengan misi kami untuk menjadi sebuah syarikat yang lebih hijau kepada pengguna, komuniti dan alam sekitar," katanya.