Usahawan tempatan sedar kepentingan sijil Halal

A
A
A

Norolazali (tengah) merasmikan program Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang sambil diperhatikan Hairol Ariffein, pada Khamis.
Norolazali (tengah) merasmikan program Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang sambil diperhatikan Hairol Ariffein, pada Khamis.

KUANTAN - Industri halal negara boleh dipacu melalui kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri dalam usaha membantu syarikat tempatan meningkatkan eksport halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal Bhd (HDC), Hairol Ariffein Sahari berkata, kerjasama daripada kedua-dua belah pihak ini dilihat dapat memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mendapatkan sijil halal secara kolektif.

Menurutnya, kerajaan pusat mempunyai kuasa untuk hal-hal berkaitan polisi, program dan sebagainya, manakala negeri pula boleh melaksanakannya mengenai logistik dan infrastruktur.

"Saya kira intervensi ini secara berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan mengenai kepentingan sijil halal dan peluang untuk mereka memperkuatkan produk mereka di dalam serta luar negara.

"Setakat ini terdapat 360 syarikat yang mempunyai sijil halal di Pahang dan jumlah itu boleh dipertingkatkan sekitar 500 hingga 700 syarikat dalam tempoh empat tahun lagi, jika ramai yang sedar kepentingan sijil halal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada program Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang di sini pada Khamis.

Norolazali (kanan) bertanya sesuatu kepada usahawan ketika melawat gerai pameran pada Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang.
Norolazali (kanan) bertanya sesuatu kepada usahawan ketika melawat gerai pameran pada Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang.



Program itu dirasmikan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman, di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan pada Khamis.

Menurut Hairol Ariffein, apabila bilangan produk halal bertambah, ia akan memudahkan pengguna memilih produk dalam kategori halal.

Jelasnya, program Jelajah Halal Malaysia dilihat berjaya apabila berlaku peningkatan jumlah syarikat di Sabah yang menyertai program itu sebelum ini.

"Berdasarkan rekod sebelum ini di Sabah, pada hari berlangsungnya program terdapat hanya 250 syarikat, tetapi selepas itu jumlah menyertainya bertambah hampir sekali ganda. Kesan daripada program ini bukan setakat dua tiga hari tetapi untuk jangka masa panjang," katanya.

Menyentuh mengenai produk makanan yang menjadi antara sumber tarikan pelancongan, beliau berkata, soal makanan dan perkhidmatan berada di bawah hospitaliti yang membawa kepada perkhidmatan mesra Muslim.

HAIROL ARIFFEIN
HAIROL ARIFFEIN



Menurutnya, promosi tidak terhadap kepada makanan semata-mata tetapi turut melibatkan kesihatan, selain dibantu promosi produk sampingan.

"Sebagai contoh sektor pelancongan perlu tingkatkan produk halal untuk makanan, perkhidmatan hospitaliti pula perlu memastikan dapur mereka menggunakan produk halal.

"Ini memberi peluang lebih besar kepada pengeluar produk untuk masuk ke pasaran yang disediakan oleh perkhidmatan sampingan dalam industri halal ini," katanya.

Sebahagian usahawan di Pahang terlibat dalam program Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang.
Sebahagian usahawan di Pahang terlibat dalam program Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri Pahang.



Hairol Ariffein berkata, pelbagai bentuk kempen turut diadakan bagi memastikan kesinambungan jelajah Halal Malaysia selepas berakhirnya program di Pahang. Sarawak akan menjadi destinasi tumpuan selepas ini termasuk Perak.

"Kita juga akan mengadakan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia di Melbourne, Australia pada 1 dan 2 September depan bagi memperkenalkan produk Malaysia ke negara itu," katanya.

Sementara itu lebih 100 peserta yang terlibat dalam program Jelajah Halal Malaysia memula mengakui kepentingan sijil halal untuk produk yang mereka hasilkan.

REAKSI USAHAWAN

NOR AZMAH
NOR AZMAH



“Sebelum ini saya tidak tahu kaedah untuk mendapatkan sijil halal dan sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MesTi). Banyak manfaat diperolehi di sini.” - Usahawan Ketupat Palas Sejuk Beku, Nor Azmah Mohd Yusof, 45.

“Saya akan memastikan produk dijamin berkualiti bagi mendapatkan sijil halal. Sasaran untuk memperluaskan pasaran itu sudah ada, namun saya akan mohon untuk mendapat halal produk terlebih dahulu.” – Usahawan Produk Ayam Kampung Perap, Nurul Hafiza Zulkifli, 35.

AISHAH
AISHAH



"Banyak ilmu baharu yang saya dapat sepanjang program Jelajah Halal Malaysia ini terutamanya bagaimana mendapatkan sijil halal untuk produk makanan dan pemasaran produk di dalam dan luar negara.” - Usahawan Sambal Ayam Penyet, Aishah Yaakob, 44.

"Banyak maklumat mengenai pemasaran perniagaan dan sijil halal didedahkan di sini dan secara peribadi ia membuka mata untuk usahawan meneroka bidang perniagaan lebih meluas lain dengan kualiti produk yang lebih dijamin piawaiannya.” - Pekerja Farmasi, Mohd Muaz Nasruddin, 31.

ROSMASIDA
ROSMASIDA



"Saya dapat banyak ilmu berkenaan dengan halal dan tahu tujuan serta pentingnya sijil halal. Jadi selepas ini saya mahu memasarkan produk saya dengan lebih meluas berbekalkan ilmu dan pendedahan yang diberikan oleh HDC.” - Usahawan Jamu Homemade, Rosmasida Mohd Fazir, 40.