Cubaan seludup minyak masak peket ke Filipina digagalkan

Minyak masak peket yang berjaya dirampas sebelum sempat diseludup ke Filipina melalui perairan Semporna pada Khamis.
Minyak masak peket yang berjaya dirampas sebelum sempat diseludup ke Filipina melalui perairan Semporna pada Khamis.
A
A
A

SEMPORNA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna berjaya merampas sebanyak 646 peket minyak masak yang cuba diseludup ke Filipina di perairan Semporna, pada awal pagi Khamis.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, tiada sebarang tangkapan berjaya dibuat berikutan suspek bertindak nekad terjun ke laut selepas dikesan pasukan Maritim Malaysia.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, rampasan dibuat selepas pihaknya berjaya mengesan sebuah bot laju tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi sekitar 0.7 batu nautika barat daya Kampung Labuan Haji.

"Sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa, suspek bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran.

"Hasil pemeriksaan bot yang ditinggalkan menemui 646 peket minyak masak bernilai RM1,615," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, antara barang yang turut dirampas termasuk bot dan enjin sangkut dengan anggaran RM11,615.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai.

"Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini," katanya.