Tak habis-habis jenayah scam

Antara laporan Sinar Harian berhubung jenayah scam yang berlaku di negara ini.
Antara laporan Sinar Harian berhubung jenayah scam yang berlaku di negara ini.
A
A
A

KES penipuan dalam talian dilihat semakin menjadi-jadi. Pelbagai cara dan modus operandi digunakan kumpulan berkenaan untuk ‘mengaut’ duit mangsa sehingga kosong.

Trend penipuan yang mudah dan pantas dikesan semakin aktif, sekali gus merunsingkan orang ramai.

Antara jenis penipuan ialah scam tawaran pekerjaan, Macau Scam, Love Scam, scam pelaburan, scam wang dari pihak luar dan sebagainya.

Ketika pihak berkuasa giat berusaha memberi kesedaran mendidik orang ramai mengenai jenayah penipuan itu, masih ada juga yang terjerat dengan helah scammer.

Lihat sahaja kejadian-kejadian sebelum ini, misalnya pada 4 Julai lalu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seramai 12 individu termasuk tiga wanita didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan pinjaman tidak wujud secara dalam talian hingga mengakibatkan kerugian RM1.94 juta.

Di Kuala Lumpur, hasrat seorang lelaki berusia 25 tahun untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di luar negara lebur selepas dia menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang, berdasarkan maklumat diterima, dianggarkan hampir 90 rakyat Malaysia berada di Kemboja dan dikerah untuk menjadi ejen sindiket penipuan dalam talian.

Tambah beliau, mangsa disyaki akan diseksa dengan renjatan elektrik sekiranya gagal mencapai sasaran sindiket.

Lebih menyedihkan, bakal jemaah haji yang rata-ratanya warga emas turut menjadi mangsa. Seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Jelas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), agensi terlibat adalah berlesen dengan pihaknya dan hasil temu bual oleh wakil syarikat di KLIA menyatakan jika bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti dijadualkan, wang dan pasport akan dikembalikan secara berperingkat.

Pihak polis telah menerima 121 laporan berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian RM5.17 juta.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Yang terbaharu adalah kes penipuan di Kuala Lumpur melibatkan skim penipuan pelaburan BTC financial trading / finance trader dan smart trader best exchange yang mengakibatkan kerugian lebih RM1.37 juta.

Menariknya, pelakon dan penyanyi, Datuk Ahmad Azhar Osman atau lebih dikenali sebagai Awie, sanggup mengambil risiko terlibat dalam kempen Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) (Awie Ride 2022).

Awie berkata, penglibatannya dalam kempen itu dianggap sangat bahaya, namun dia sanggup berdepan risiko demi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu sindiket penipuan.

Tambah Awie, pengalaman bergaduh dengan scammer yang cuba menipu menerusi panggilan telefon telah menjadi pencetus jelajah kempen tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat berkata, empat mesej utama akan disampaikan dalam kempen anti-scam itu.

“Antaranya, pencegahan jenayah tanggungjawab bersama, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran berkaitan modus operandi scammer dan mengelak diri daripada menjadi mangsa.

“Semua warga Malaysia adalah duta anti-scam dan mesej terakhir adalah orang ramai jangan libatkan diri dalam jenayah penipuan serta keldai akaun,” tegasnya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Ir Ong Kean Sing turut menyerahkan memorandum kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendesak BNM bertindak tegas mengekang jenayah scam.

Penulis juga pernah jadi mangsa ketika zaman belajar apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali menerusi WhatsApp. Scammer minta Transaction Authorisation Code (TAC), katanya tersalah hantar.

Tanpa berfikir panjang, penulis mengikut arahannya. Sejak kejadian itu, penulis lebih berhati-hati agar tidak tertipu lagi.

Paling penting, orang ramai harus berwaspada. Jika ragu-ragu, terus maklumkan kepada pihak berkuasa. Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kejadian-kejadian sebelum ini.

* Mohamad Kornain ialah Pengisi Kandungan Sinar Harian