Dua hilang, bot dinaiki terbalik di Sungai Pahang

No Image Caption
A
A
A

PEKAN - Dua lelaki hilang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama tiga yang lain terbalik di Sungai Pahang berhampiran Pulau Awang Mandur di sini, petang tadi.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Chan Hoke Kee, 41 dan Ah Poi manakala dua rakan mereka Soo Ke Cheong, 44 dan Fan Kek Heong, 44, serta seorang warga Indonesia, Suprianto, 24, yang mengemudi bot berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, lima lelaki terbabit menaiki bot gentian kaca dari tebing sungai Pahang di Pulau Jawa untuk membuat rondaan sekeliling Pulau Awang Mandur.

"Mereka dipercayai merakam gambar sekitar pulau itu bagi menjalankan aktiviti mengepam pasir.

"Difahamkan, bot yang sedang bergerak tidak stabil apabila dua daripada mereka berdiri untuk merakam gambar sebelum ia terbalik," katanya.

Menurutnya, tiga mangsa berjaya diselamatkan seorang penduduk kampung yang kebetulan sedang memancing di atas bot berhampiran tebing sungai.

"Susulan kejadian pihak polis dengan bantuan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang.

"Bot yang dinaiki mangsa berjaya ditemui dan dibawa ke tebing. Gerakan mencari dihentikan jam 7.30 petang tadi dan akan disambung esok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amran berkata, unit Skuba Marin dan Unit Skuba Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah diminta untuk membantu SAR esok.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, 18 anggotanya termasuk lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terlibat dalam operasi petang tadi.

"Dua bot digunakan untuk buat pencarian di permukaan dan selaman tidak dapat dilakukan kerana arus deras.

"Pos kawalan operasi bomba dibuka di Taman JPS River Front," katanya.

Posted by Sinar Harian Edisi Pahang on Tuesday, April 2, 2019