Pahang buru rekod MBOR menerusi festival tangkap baung ekor merah terbesar

KUANTAN - Pahang menyasarkan penciptaan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jumlah tangkapan ikan baung ekor merah yang sah dan disahkan sepanjang penganjuran Program Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest pada 20 hingga 22 November ini.
Festival selama tiga hari itu akan berlangsung serentak di tujuh lokasi membabitkan lima daerah, dengan Kuala Krau, Temerloh dipilih sebagai lokasi utama penganjuran.
Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, program bersepadu itu akan menghubungkan enam lokasi satelit dengan pentas utama di Kuala Krau menerusi siaran visual secara langsung bagi membolehkan pemantauan dan perkongsian aktiviti sepanjang pertandingan berlangsung.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja memastikan kelancaran penganjuran malah menjadi elemen penting dalam usaha merealisasikan sasaran pengiktirafan MBOR.
"Kejayaan mencipta rekod MBOR memerlukan sokongan dan penglibatan aktif seluruh masyarakat, khususnya komuniti pemancing di negeri ini.
"Sehubungan itu, orang ramai dan komuniti pemancing dijemput untuk bersama-sama menyertai serta menjayakan program ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Majlis perasmian festival itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 21 November dengan gimik simbolik menyauk ikan baung ekor merah.
Selain pertandingan memburu ikan baung ekor merah, festival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti komuniti, pameran dan pengisian menarik sepanjang penganjurannya.
Roslan berkata, penyertaan orang ramai amat penting bagi memastikan sasaran pengiktirafan MBOR dapat direalisasikan, di samping membantu usaha Jabatan Perikanan mengawal populasi ikan asing invasif yang menjejaskan ekosistem perairan darat.
Menurutnya, festival itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perikanan melalui Pejabat Perikanan Negeri Pahang untuk membendung penularan spesies asing invasif yang boleh mengancam keseimbangan biodiversiti serta kelangsungan spesies ikan tempatan.
Beliau berkata, antara tahun 2022 hingga Julai 2026, sebanyak 10 siri program kesedaran, inventori dan pertandingan memburu ikan asing telah dilaksanakan di beberapa daerah termasuk Jerantut, Lipis, Pekan, Temerloh dan Raub.
"Hasil daripada program tersebut, lebih 1,273 kilogram ikan baung ekor merah berjaya dikeluarkan dari perairan umum selain spesies asing lain seperti tilapia hitam, ikan bandaraya, patin hitam dan kap kepala besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

